Enam lelaki termasuk tokan ditahan

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Gara-gara menjual dadah secara ‘bayar sewaktu terima” pada sebelah malam, tujuh lelaki warga tempatan termasuk seorang `tokan' ditahan dalam lima serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kontinjen Perlis bermula dari 9 September hingga semalam.

Serbuan antara pukul 10.40 malam dan 4.30 pagi tiga lokasi, iaitu di Simpang Empat, Arau dan Kuala Perlis itu menemukan 1,184.81 gram dadah jenis syabu dan 23.68 gram dadah jenis heroin yang dianggar bernilai RM121,685.40, yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar negeri Perlis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, taktik yang digunakan oleh suspek ialah dengan membungkus dadah berkenaan dan disorokkan di dalam kotak rokok, bungkusan teh dan juga surat khabar lama, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, suspek terlebih dahulu akan menghubungi pelanggannya dengan telefon sebelum membuat temujanji di tempat tertentu bagi ‘menyampaikan pesanan’ dan akan dihantar pada waktu malam.

"Kita percaya mereka mendapatkan hasil daripada luar, kemudian mereka akan jual kepada individu yang mahu benda (dadah) ini.

"Kita akan teruskan siasatan lanjut ke atas suspek,” katanya pada sidang media yang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.

Menurut Surina, kesemua tujuh suspek berumur antara 22 dan 52 tahun yang bekerja sebagai buruh, penganggur dan mekanik kereta itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dilakukan, enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang positif jenis morfin.

Katanya, polis turut menyita tiga buah kereta dan sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan berjumlah RM120,000. - Bernama

Artikel Berkaitan: