Hasrat bercuti bersama keluarga di London berkecai

Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang lelaki untuk bercuti ke London bersama keluarga tidak kesampaian apabila dia diperdaya seorang wanita yang kononnya ejen sebuah syarikat penerbangan.

Pada Jun lalu, mangsa berusia 29 tahun membuat pembayaran sebanyak RM11,530 ke dalam akaun seorang wanita bernama Maizura Mohammad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang juga pemilik sebuah bengkel membuat tempahan penerbangan untuk lima orang pada 13 Oktober hingga 23 Oktober 2019.

“Selepas membuat pembayaran, suspek menyerahkan bukti paparan skrin kepada mangsa.

“Bagaimanapun, ketika buat semakan dengan syarikat penerbangan, tiada pembelian tiket dibuat di atas namanya,” katanya.

Mohd Wazir berkata, menyedari sudah diperdaya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kita sedang mengesan suspek,” katanya.