Nafi tidak adil terhadap 33 syarikat perabot bumiputera

Amiruddin Hamzah
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menafikan dakwaan tidak berlaku adil terhadap 33 syarikat perabot bumiputera apabila digugurkan daripada senarai Kontrak Panel Berpusat (KPB) seperti yang didakwa Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Timbalan Menterinya, Datuk Amiruddin Hamzah menjelaskan, punca syarikat itu tidak tersenarai disebabkan gagal mematuhi syarat Perkhidmatan Pensijilan Produk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM PCS) yang ditetapkan.

"Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa pada 22 Jun 2018, Kementerian Kewangan telah menyenaraikan 87 syarikat pengeluar perabot bumiputera sebagai panel di bawah KPB Perabot untuk tempoh 3 tahun iaitu mulai 1 Julai 2018 sehingga 30 Jun 2021.

"Syarikat yang terbabit dikehendaki untuk mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh satu(1) tahun kontrak berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2019 (tarikh akhir mendapatkan pensijilan).

"Kegagalan untuk mematuhi syarat tersebut akan menyebabkan syarikat terbabit digugurkan secara automatik daripada senarai KPB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, daripada 87 syarikat itu, hanya 54 syarikat telah berjaya mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 30 Jun 2019.

Katanya, setakat hari ini, baki 33 syarikat yang gagal memperoleh sijil dalam tempoh tersebut menunjukkan hanya 13 syarikat telah berjaya mendapatkan pensijilan, 15 syarikat masih dalam proses pengujian dan 5 syarikat lagi langsung tidak mengemukakan permohonan kepada FRIM.

"Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan FRIM PCS merupakan inisiatif Kerajaan di bawah Program Pemerkasaan Industri Perabot Bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan kualiti perabot yang dikeluarkan oleh syarikat perabot bumiputera supaya mampu menembusi pasaran luar dan pada masa yang sama, perabot yang dibekalkan kepada Kerajaan turut mendapat jaminan kualiti.

"Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah dilantik sebagai regulator memandangkan FRIM merupakan badan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Badan Pensijilan Produk oleh Furniture Industry Research Association (FIRA) dan Jabatan Standard Malaysia," katanya.

Jelasnya, bagi membuktikan keprihatinan kerajaan, pihaknya telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh bagi mendapatkan pensijilan FRIM PCS selama 6 bulan lagi iaitu sehingga 31 Disember 2019.

"Kelonggaran ini tidak melibatkan 5 syarikat yang langsung tidak mengemukakan produk mereka untuk pensijilan FRIM PCS.

"Namun demikian, sekiranya syarikat masih berminat untuk menyertai KPB Perabot, pengusaha-pengusaha ini boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan, tertakluk kepada syarikat telah memperolehi pensijilan FRIM PCS dalam tempoh lanjutan ini," katanya.

Terdahulu, MTEM melalui kenyataan media hari ini dilaporkan berkata Kementerian Kewangan tidak berlaku adil terhadap 33 syarikat perabot bumiputera apabila digugurkan daripada senarai Kontrak Panel Berpusat (KPB).