Seberang Perai bakal diisytiharkan bandaraya 16 September


Seberang Perai akan diisytiharkan sebagai bandaraya pada 16 September ini.
Seberang Perai akan diisytiharkan sebagai bandaraya pada 16 September ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tarikh 16 September bakal menjadi sejarah apabila Seberang Perai akan diisytiharkan sebagai bandaraya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya sudah menyerahkan surat bagi pengisytiharan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kepada Istana Negara untuk mendapat perkenan.

Menurutnya, terdapat sebanyak 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dan 13 daripadanya telah mendapat taraf bandaraya.

“MPSP akan menjadi PBT yang ke-14 dinaik taraf sebagai bandaraya sekaligus menjadikan Pulau Pinang negeri pertama yang kesemua PBT bertaraf bandaraya.

“MBSP akan menggalas tanggungjawab yang lebih besar bagi mengekalkan pencapaian sedia ada selepas PBT itu dinaik taraf sebagai bandaraya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jagdeep berkata, bagi membolehkan diisytihar sebagai bandaraya, pihak perbandaran harus memenuhi prasyarat tertentu seperti mempunyai 500,000 penduduk, pendapatan tahunan lebih daripada RM100 juta serta mempunyai kemudahan seperti kawasan perindustrian, institusi pendidikan, kemudahan perubatan dan institusi kewangan.

Katanya, kawasan berkenaan juga perlu mempunyai kemudahan untuk menarik pelabur dan memberi tumpuan kepada pembangunan mampan.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud akan dilantik sebagai Datuk Bandar Seberang Perai sebaik sahaja memperoleh status itu.

Rozali yang ditemui sebelum ini berkata, beliau melahirkan rasa syukur apabila penantian sekian lama penduduk Seberang Perai untuk mendapat taraf bandaraya akhirnya tercapai.

Artikel Berkaitan:

“Pengumuman naik taraf status MPSP kepada bandaraya merupakan berita gembira dan akan menjadi pemangkin untuk MPSP meningkatkan kualiti serta komitmen terhadap masyarakat di Seberang Perai.

“Kita akan mengatur langkah meningkatkan prestasi MPSP ke arah matlamat menjadikan Seberang Perai sebagai bandar inklusif, hijau, kompetitif dan bandar yang dipacu teknologi,” katanya.