Koleksi batik Etos Sarawak diperkenal

Koleksi pakaian batik bertemakan Etos Sarawak diperagakan pada pertandingan akhir PSE ke-16 di KLCC Ahad lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) memperkenalkan koleksi batik bertemakan Etos (identiti) Sarawak menerusi pertunjukan fesyen pada pertandingan akhir Piala Seri Endon (PSE) ke-16 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pertunjukan fesyen itu mendedahkan pelbagai koleksi batik yang diilhamkan dari Sarawak untuk meningkatkan keterlihatan jenama Sarawak merangkumi pelbagai aspek dan ciri negeri itu dalam rekaan.

Koleksi batik Etos Sarawak diperkenalkan sebuah syarikat pereka tempatan, Batique Sdn Bhd (Batique) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UITM).

Tema yang dipilih untuk pameran pereka berkenaan diilhamkan daripada kekayaan budaya dan warisan di Sarawak yang digambarkan dalam penggunaan motif Melayu Sarawak dan masyarakat pribumi Sarawak.

Pengarah Batique, Nor Azlina Merican Shaharom berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) untuk mempamerkan koleksi batik rekaan terbaharu mereka di acara berprestij itu.

"Kami memilih untuk mempersembahkan batik beridentitikan Sarawak kerana percaya terdapat banyak lagi yang dapat ditemui dari negeri ini yang dapat memberi inspirasi kepada idea motif dan rekaan dalam pembuatan batik.

"STB dan OKSHE tampil menaja koleksi kami serta pameran Etos Sarawak di mana ia mencerminkan komitmen penuh mereka untuk memastikan keterlihatan jenama Sarawak dalam arena fesyen dan batik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Edisi ke-16 pertandingan pada Ahad lalu dirasmikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Mohammaddin Ketapi, Setiausaha Agung MOTAC, Datuk Isham Ishak dan Timbalan Setiausaha Negeri Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan Sarawak, Datu Dr Sabariah Putit.

Pertandingan rekaan batik tahunan itu dianjurkan Penyayang yang diasaskan Tun Endon Mahmood pada 2003 sebagai sebahagian daripada kempen Batik Malaysia-Crafted For The World Movement untuk mencari dan menyediakan platform sokongan, pengiktirafan dan galakan bakat kepada industri pembuatan batik di negara ini.

Menurut Azlina, koleksi pertama yang diperkenalkan adalah tudung bawal dan selendang Batique yang diinspirasikan daripada Bunga Tabor dan Mawar yang menggambarkan budaya Sarawak adalah warisan daripada Songket dan Keringkam.

Katanya, tudung Keringkam adalah tudung mewah yang besar sulamannya dengan benang emas adalah pakaian tradisional Melayu Sarawak yang dianggap paling mulia selama berabad-abad dan telah diwarisi sebagai pusaka keluarga yang tidak ternilai.

Koleksi pakaian batik bertemakan Etos Sarawak diperagakan pada pertandingan akhir PSE ke-16 di KLCC Ahad lalu.
Koleksi pakaian batik bertemakan Etos Sarawak diperagakan pada pertandingan akhir PSE ke-16 di KLCC Ahad lalu.

Pameran itu turut mengetengahkan koleksi Lembayung iaitu satu set empat pakaian malam yang mencerminkan pelbagai warna semula jadi iaitu biru untuk menggambarkan langit, air dan atmosfera, simbolik alam semesta yang luas serta kekayaan ekologi dan alam semula jadi Sarawak.

Azlina berkata, koleksi paling utama yang diketengahkan adalah koleksi batik kontemporari membabitkan koleksi pakaian kasual dan formal yang menggunakan motif buah bangkit, pating betulak dan buah anyam yang diambil daripada tema Pua Kumbu yang terkenal.

"Syarikat kami mahu mengetengahkan batik Malaysia, menyediakan pakaian batik berkualiti tinggi dan menjual produk batik pada harga berpatutan.

"Kami berharap dapat terus mempamerkan koleksi batik kami yang menarik dari segi motif dan reka bentuk agar rakyat Malaysia pada suatu hari nanti akan menjadikan batik bukan sahaja sebagai pakaian formal tetapi juga sebagai pakaian kasual iaitu pakaian harian," katanya lagi.

Kata beliau, pihaknya yakin bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk menjadikan batik sebagai satu warisan yang dihidupkan kembali dalam versi moden untuk generasi muda.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia