Najmi ternak lembu, kambing biri-biri

Kambing biri-biri yang diternak Nurnajmi di Semenyih kini berjumlah 50 ekor. - Foto ZAHID IZZANI
A
A

SEMENYIH - Sejak usia 8 tahun, Nurnajmi Nasrun diajak turun padang membantu ayahnya menjaga serta memelihara kambing biri-biri dan lembu milik keluarga.

Jerit perih dan pengorbanannya berbaloi apabila dalam usia 21 tahun, Nurnajmi sudah boleh berbangga apabila memiliki syarikat sendiri di bawah label Najmi Ruminant Livestock Enterprise yang beroperasi di Semenyih.

Banyak perkara yang terpaksa ditempuhinya sebelum berjaya berada di tahap itu termasuk terpaksa melupakan keseronokan zaman kanak-kanak kerana masanya banyak dihabiskan di ladang dan kandang bagi membanting tulang membantu keluarga.

“Alhamdulillah, saya sangat tidak menyangka sudah berada di tahap ini. Ini bukan sesuatu yang mudah tapi tidak mustahil.

Nurnajmi bangga memiliki perusahaan ternakan lembu. - Foto ZAHID IZZANI
Nurnajmi bangga memiliki perusahaan ternakan lembu. - Foto ZAHID IZZANI

"Melalui semangat yang kuat dan iltizam yang jitu saya yakin rakan-rakan sebaya saya pun pasti boleh mencapai apa saja yang mereka impikan,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya baru-baru ini.

Berkat usaha tidak pernah jemu dan niat sucinya membantu ayah menunjukkan hasil apabila jumlah ternakannya semakin berkembang sehingga memiliki 62 ekor lembu dan kambing biri-biri yang pada asalnya hanya berbelas ekor.

“Permulaannya saya ternak biri-biri 16 ekor, sekarang ada sekitar 50 ekor biri-biri dan lembu 12 ekor. Dulu lembu hanya ada dua ekor. Lepas saya jual pada tahun 2012, kita ambil dua ekor dan ia membiak jadi 12 ekor,” katanya.

Najmi mengingatkan golongan belia sepertinya perlu bijak mengambil peluang yang ada meskipun pekerjaan dilakukan itu bukanlah dalam bidang glamor.

Nurnajmi memberi makanan kepada haiwan ternakannya di Semenyih. - Foto ZAHID IZZANI
Nurnajmi memberi makanan kepada haiwan ternakannya di Semenyih. - Foto ZAHID IZZANI

“Bidang ini sebenarnya menjanjikan pulangan yang baik sekiranya ada ilmu dan rajin berusaha. Kita kena berani dan buang persepsi negatif orang lain yang masih memandang rendah terhadap kerjaya sebagai petani atau penternak.

“Kita tak boleh sekat pandangan negatif orang. Saya sudah biasa, daripada umur 15 tahun orang bercakap-cakap dan hina, saya tak ambil peduli. Apa yang penting bagi saya adalah berusaha sehingga berjaya,” katanya.

Berbekalkan wang sendiri dan sumbangan keluarga, dia membina kandang kambing biri-biri baharu dengan modal RM8,000.

“Alhamdulillah kandang yang pada asalnya bersaiz 10x15 kaki persegi sekarang menjadi 40x20 kaki persegi setelah ditambah baik,” katanya yang kini memperoleh pendapatan mencecah RM3,000 sebulan dan akan bertambah pada musim perayaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia