India cuba hubungi semula robot pendarat Vikram

Robot pendarat Vikram terbabit dikatakan mengalami kesukaran untuk melakukan pendaratan sempurna di permukaan bulan pada Sabtu lalu.
A
A

NEW DELHI - Saintis angkasa India kini sedang berusaha untuk menyambung semula hubungan komunikasi dengan robot pendarat Vikram selepas ia gagal merealisasikan misi negara itu untuk mendarat di bahagian Kutub Selatan bulan.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) menerusi Twitter semalam mengesahkan ia telah mengesan lokasi robot pendarat itu selepas ia terputus hubungan dengan pusat kawalan di bumi ketika cuba mendarat di permukaan bulan pada Sabtu lalu.

“#VikramLander telah dikesan pengorbit #Chandrayaan-2, namun masih belum ada sebarang komunikasi dengannya. Segala usaha sedang dibuat untuk berkomunikasi dengan kenderaan pendarat tersebut,” ujar ISRO.

Misi angkasa gergasi Asia paling kompleks yang turut membawa pengorbit dan kenderaan perayau dibangunkan oleh India itu menelan kos agak sederhana berjumlah AS$140 juta (RM585 juta).

Sebelum ini, media tempatan melaporkan robot pendarat terbabit mengalami kesukaran untuk mendarat dan mungkin merosakkan kenderaan perayau yang dibawanya. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia