Isu MyKad: Wanita UMNO gesa kerajaan bertindak tegas

Noraini Ahmad -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Noraini Ahmad -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita UMNO Malaysia melahirkan rasa kecewa atas dakwaan sindiket penjualan MyKad kepada warga asing di Pulau Pinang.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kerajaan Malaysia mesti tegas bertindak adil sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip rule of law demi menjaga integriti kerajaan dan kakitangannya.

“Ini adalah untuk memberi isyarat tegas bahawa sebarang usaha buruk yang melibatkan integriti kakitangan kerajaan adalah suatu yang tidak boleh dikompromi dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata demikian berikutan laporan dan tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa berhubung kes seorang wanita warga China yang ingin memohon pasport Malaysia sebelum ini.

Dilaporkan juga bahawa beberapa individu yang ditahan itu adalah termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi di Pulau Pinang dan di Putrajaya serta hasil siasatan mendapati sindiket tersebut telah berjaya menjual enam keping MyKad.

“Wanita UMNO Malaysia mendesak supaya pihak kerajaan mengambil tindakan segera ke atas individu-individu yang dipercayai terbabit dengan kes penjualan MyKad membabitkan nilai RM350,000 kepada warga asing dari negara China," katanya.

Katanya, pihak kerajaan juga perlu membuat pendedahan secara terbuka siapakah dalang di sebalik penglibatan kakitangan kerajaan terbabit dan membongkar lagi usaha daripada pihak tertentu membawa masuk warganegara asing ke negara ini secara besar-besaran.

“Wanita UMNO Malaysia juga berpendapat bahawa berkemungkinan besar masih ada sindiket lain membuat jenayah yang sama di luar sana dan orang ramai yang mengetahui sindiket ini perlu tampil memberi kerjasama, supaya melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan: