254 belia Malaysia terima Anugerah Duke of Edinburgh

Putera Edward Earl of Wessex (kiri) bersama para penerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Emas 2019 selepas menyampaikan anugerah itu hari ini. - Foto BERNAMA
A
A

CYBERJAYA - Seramai 254 belia Malaysia menerima anugerah Duke of Edinburgh’s Award, atau Gold International Award for Young People 2019 daripada Putera Edward, dalam satu majlis anugerah khas di sini hari ini.

Putera Edward, Earl of Wessex merupakan pengerusi kepada pemegang amanah Yayasan The Duke of Edinburgh’s International Award Foundation.

Anugerah itu diperakui di lebih 130 negara di seluruh dunia, dan di Malaysia ia juga dikenali sebagai Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Earl of Wessex itu berada dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia sebagai sebahagian daripada siri lawatan yang akan membawa beliau ke Australia.

Beliau merupakan anak bongsu kepada Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh.

Putera Edward dalam perutusan tahniahnya selepas penyampaian anugerah itu mengingatkan para penerima supaya meneruskan usaha serta kerja keras mereka, di samping berkongsi pengalaman serta sokongan demi manfaat masyarakat keseluruhannya.

Di majlis itu turut meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra dengan para penerima.

Kali terakhir Earl of Wessex melawat Malaysia adalah pada 2004, juga melibatkan anugerah yayasan Duke of Edinburgh’s International Award Foundation.

Sejak 2003 sehingga 2008, sejumlah 161,942 belia Malaysia menerima anugerah, dengan 116, 558 merupakan penerima anugerah peringkat gangsa; 44,345 penerima anugerah perak; dan 1,039 penerima anugerah emas.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata anugerah itu adalah untuk belia yang berusia antara 14 dan 24 tahun yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan dan pengembaraan.

"Para belia perlu membuat permohonan untuk mendapatkan anugerah ini," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia