Manogaran tanding semula di Cameron Highlands?

Penasihat DAP Lim Kit Siang (dua, kiri) bersama Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran (kanan) beramah mesra bersama penduduk setempat di sebuah restoran sekitar pekan pada Program Jelajah Jelai bersama Lim Kit Siang di Pekan Ringlet hari ini. - Foto Bernama
Penasihat DAP Lim Kit Siang (dua, kiri) bersama Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran (kanan) beramah mesra bersama penduduk setempat di sebuah restoran sekitar pekan pada Program Jelajah Jelai bersama Lim Kit Siang di Pekan Ringlet hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Bekas calon PH dari DAP bagi Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran pada PRU14 mungkin bertanding semula dalam PRK kawasan itu.

Biarpun tempoh kempen belum bermula, namun dalam siri Jelajah Jelai bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini, Manogaran mula rancak bertemu pengundi di sekitar Pekan Ringlet dan beberapa perkampungan Orang Asli dalam parlimen itu.

Turut sama dalam Jelajah Jelai selama dua hari mulai hari ini, Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran yang juga Menteri Sumber Manusia.

Meskipun Kit Siang beberapa kali tersasul menyebut ‘calon kita’ pada pertemuan bersama Orang Asli di Kampung Sungai Relong dekat sini, beliau dalam sidang media menafikan perkara itu.

Menurut Kit Siang, masih terlalu awal untuk menamakan calon sebenar bagi mewakili PH pada PRK berkenaan kerana untuk bertanding dalam pilihan raya ia melibatkan pelbagai proses.

“Belum diputuskan dan akan diumumkan dalam beberapa hari,” katanya ringkas.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C. Sivarraajh pada PRU-14 ekoran berlakunya amalan rasuah di kawasan tersebut.

Pada PRU14 Mei lalu, kerusi Cameron Highlands menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Manogaran tewas kepada Sivarraajh dengan majoriti 597 undi.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Januari bagi penamaan calon PRK itu, sementara hari mengundi awal 22 Januari dan hari pengundian 26 Januari. - Bernama