MOA pelawa pihak swasta melabur sektor perikanan

Salahuddin (tengah) melihat kandungan DPP ketika melancarkan dokumen itu di Wisma Tani hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang untuk mempelawa pihak swasta melabur dan membentuk konsortium bagi membantu meningkatkan lagi pendapatan nelayan pantai di negara ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan pendekatan baharu dalam memastikan nasib golongan nelayan terus terbela.

"Bagi membantu meningkatkan pendapatan nelayan pantai perlu kepada satu idea atau pemikiran yang boleh diterjemah dalam bentuk tindakan di mana kita akan pelawa pihak swasta untuk melabur dalam bentuk konsortium.

"Mungkin kita akan berikan mereka kemudahan (peralatan) tangkap ikan. Sebahagian tangkapan akan dinikmati nelayan dan sebahagian lagi diberikan kepada pihak yang melabur.

"Langkah ini sebagai usaha untuk membantu meningkatkan pendapatan nelayan pantai sekali gus dapat membantu ekonomi mereka," katanya pada sidang media selepas melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) di Wisma Tani di sini hari ini.

Salahuddin berkata, langkah ke hadapan perlu diambil bagi memastikan sektor perikanan negara terus meningkat pada masa akan datang.

"Nasib pesawah dan nelayan pantai antara fokus kementerian dan sudah tiba masanya untuk wujudkan satu idea atau pemikiran yang boleh diterjemah dalam bentuk tindakan seperti mempelawa pelabur swasta dalam sektor nelayan pantai ini," katanya.

Terdahulu, Salahuddin melancarkan DPP yang dihasilkan Jabatan Perikanan Malaysia.

DPP yang mengandungi tujuh dokumen sokongan diperkenal bagi meningkatkan lagi kecemerlangan pengembangan perikanan di negara ini.

Tujuh dokumen itu terdiri daripada Pelan Strategik Pengembangan Perikanan 2018-2030, Metodologi Pengembangan: Integrasi Pengembangan Perikanan (iPP), Manual Pengembangan Perikanan, Kit Perikanan, Buku Pemantauan dan Penilaian, Modul Latihan Pengembangan dan myKomuniti Perikanan (myKP).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia