Zuraida tunggu 'jemputan' Anwar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin tetap dengan hasrat mengadakan pertemuan dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin yang dipilih.

Menurutnya kini beliau menunggu jemputan daripada Anwar.

“Mula-mula dia (Anwar) kata datang mesyuarat. Selepas itu dia kata mahu jumpa. Jadi sudah tentu kami mahu jumpa presiden kami.

“Saya mahu jumpa bersama ahli yang dipilih sahaja. Dia (Anwar) dah janji nak jumpa, jadi kita tunggulah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Tahunan dan Pameran Smart Cities Asia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Zuraida sebelum ini menghantar tiga pucuk surat meminta pertemuan bersama Anwar dengan beberapa pemimpin PKR namun didakwa tidak dilayan.

Ia didakwa menjadi punca beliau bersama beberapa pemimpin parti itu tidak menghadirkan diri ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Maklum balas berbeza diterima apabila Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR hanya menerima satu surat daripada Zuraida dan telah dibalas.

Anwar juga sebelum ini menasihatkan agar Zuraida hadir ke mesyuarat MPP untuk membincangkan isu parti selain hal surat yang ditimbulkan.

Artikel Berkaitan: