Lelaki atau wanita lebih pandai memasak? Ini pula kata Alif dan Cef Nik Michael

GANDINGAN Alif bersama Cef Nik Michael untuk program dalam talian, Alif Mastaclass Goreng yang akan ditayangkan secara eksklusif di laman sosial Facebook Minyak Masak ‘ALIF’.
GANDINGAN Alif bersama Cef Nik Michael untuk program dalam talian, Alif Mastaclass Goreng yang akan ditayangkan secara eksklusif di laman sosial Facebook Minyak Masak ‘ALIF’.
A
A
A

PERTEMPURAN gender terhadap norma konvensional dunia masakan dan persoalan siapa paling pandai memasak sudah tidak relevan lagi. Mengapa? Ia kerana sekarang ini, aksi kaum Adam beraksi di dapur bukan sesuatu yang janggal.

Pendek kata, dapur bukan lagi menjadi tempat tugas hakiki golongan wanita. Kaum Hawa pastinya akan tersenyum lebar sekiranya memiliki suami yang gemar memasak di samping membantu kerja-kerja memotong atau membersih.

Kerajinan itu sesungguhnya bukan menunjukkan si lelaki itu cenderung ke arah feminisme sebaliknya menunjukkan komitmen mereka sebagai lelaki yang bertanggungjawab.

Hal itu diakui oleh dua selebriti popular tanah air iaitu Artis Versatil Popular Bintang Popular 2017, Muhammad Alif Mohd Satar atau nama pentasnya, Alif Satar dan cef selebriti terkenal, Nik Michael Imran Nik Ezar.

CEF NIK MICHAEL (kiri) bersama Alif menyerikan Majlis Pelancaran Minyak Alif Berwajah Baharu di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.
CEF NIK MICHAEL (kiri) bersama Alif menyerikan Majlis Pelancaran Minyak Alif Berwajah Baharu di Grand Hyatt Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bakat terpendam Alif yang suka memasak dan Nik Michael Imran yang kini sedang mengendalikan rancangan Cooking for Love bakal digandingkan dalam satu rancangan masakan baharu iaitu Alif MastaClass Cooking anjuran Sime Darby Oils.

Kesempatan menemui dua idola itu, penulis sempat mengajukan soalan berhubung topik persepsi lelaki di dapur. Ikuti wawancara eksklusif bersama mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Nik Michael sememangnya diketahui pandai memasak? Bagaimana pula Alif? Sebenarnya pada umur berapa tahun sudah kesan bakat memasak dan apakah masakan pertama yang dimasak hingga mendapat pujian ramai?

ALIF: Saya bukan pandai masak tapi terer memasak (seloroh). Sebenarnya, saya mula kesan bakat memasak pada umur 10 tahun lagi. Sejak kecil memang saya selalu tolong mama dan ayah yang pandai masak. Kami tiada pembantu rumah. Oleh itu, saya selalu bantu dan banyak belajar masak sambal dan beberapa menu lain daripada mereka. Namun, kini, saya sudah jarang dapat peluang masak sebab kekangan kerja. Kalau ada masa terluang, saya sanggup bangun awal pagi dan akan sendiri pergi pasar, beli barang untuk masak makanan kegemaran. Kalau tanya apa masakan pertama yang mendapat pujian ramai semestinya masakan kari kambing. Ramai kata sedap (ketawa).

CEF NIK MICHAEL: Saya mula memasak ketika berumur sembilan tahun sebab masa itu, ayah saya seorang cef yang selalu ajar saya masakan Perancis. Saya masih ingat lagi, ayah ajar saya bagaimana mahu membuat crepe suzette. Saya mencubanya dan alhamdulillah, itulah masakan pertama yang saya buat dan dapat pujian ramai.

Apakah pandangan anda terhadap lelaki yang masih terikat dengan norma konvensional bahawa tidak perlu mahir memasak dan membuat kerja di dapur? Kerja itu semuanya kata mereka hanya untuk kaum hawa.

ALIF: Kasihanlah dengan orang rumah kalau lelaki pegang persepsi seperti itu sedangkan kalau isteri penat kerja seharian, si suami kenalah ringankan beban dan bantu mereka. Sekadar goreng telur pun okay dengan nasi panas ditambah cili potong dan ikan bilis goreng. Bagi saya, skil memasak itu perlu ada dalam diri bukan sahaja untuk kelebihan sendiri tetapi memikat hati mentua.

CEF NIK MICHAEL: Pada pandangan saya, tak kisah sebenarnya lelaki atau perempuan kalau bab masak memasak ini. Sebenarnya, belajar memasak seperti skil belajar naik basikal atau berenang. Jika ada, memang satu kelebihan dan bagus untuk diri sendiri tapi kalau tak ada itu, you’re lost!.

CEF NIK MICHAEL mengendalikan salah sebuah rancangan masakan.
CEF NIK MICHAEL mengendalikan salah sebuah rancangan masakan.

Bagaimana pandangan anda terhadap wanita yang tidak pandai memasak?

ALIF: Tiada masalah, janji pandai urut (ketawa). Hal memasak memang mengenai skil sebenarnya. Namun kasihanlah kepada suami itu kalau isteri yang tidak pandai memasak.

CEF NIK MICHAEL: Itu terpulang kepada anda sendiri. Saya rasa menilai kemahiran memasak berdasarkan jantina itu satu benda lapuk dan perkara lama. Mungkin soalan sama boleh dituju kepada lelaki juga sebab kemahiran memasak ini semua boleh belajar.

Berbalik kepada skil memasak Alif dan Nik Michael, apa perkara yang biasanya anda akan pastikan ada tatkala memasak? Lazimnya barang-barang dapur dibeli sendiri atau bagaimana?

ALIF: Jika tidak sibuk dengan kerjaya, saya akan pastikan akan masak dan beraksi di dapur. Benda yang wajib ada kalau saya memasak ialah bawang merah dan bawang putih sebab saya suka sangat. Sampaikan isteri tegur supaya jangan letak banyak sangat (bawang), nanti badan berbau. Namun, saya jenis suka kuah yang pekat, tak suka ceroi. Lagi satu, mesti ada tiga sekawan iaitu kayu manis, bunga lawang dan cengkih untuk masak. Kalau tiada, tak sedaplah masakan itu.

CEF NIK MICHAEL: Walaupun mengalami kecederaan tendon pada pergelangan tangan tetapi saya masih aktif memasak. Perkakas yang wajib ada mestilah pisau sebab ia penting dalam masakan. Namun, pada masa sama, alat yang baharu yang orang tak pandang sangat ialah termometer. Termometer jenis digital sangat penting bagi memastikan masakan kita sempurna. Barang-barang pastinya saya sediakan sendiri sebab saya lebih tahu keperluan di dapur dan bahan masakan berbanding orang lain.

SKIL memasak menjadi kelebihan buat lelaki sama juga seperti kemahiran berenang.
SKIL memasak menjadi kelebihan buat lelaki sama juga seperti kemahiran berenang.

Isteri lebih pandai memasak ke anda yang lebih ke hadapan? Apakah masakan isteri yang anda suka?

ALIF: Kalau dibandingkan siapa pandai memasak, sudah tentunya isteri tersayang. Namun kalau bab mengemas lepas masak, saya yang paling hebat (sambil gelak). Masakan isteri yang paling saya suka banyak tapi kalau suruh saya pilih, saya gemari menu asam pedas. Masakannya memang power. Kurma daging pun sedap. Sarapan pagi ala English yang dia buat pun Lazat.

CEF NIK MICHAEL: Sudah tentunya isteri lebih pandai memasak (gelak). Masakan isteri yang paling saya suka dan tak sangka pun dia pandai masak ialah nasi goreng dan kari ketam nenas. Menu itu wajib ada. Air tangannya sedap dan sebagai cef saya menyifatkan bahan-bahan ramuan semuanya cukup.

Memang tidak dinafikan orang selalunya berkata bahawa lelaki sebenarnya lagi hebat daripada wanita kalau di dapur dan itu menjadi faktor lebih ramai kaum Adam jadi cef. Namun, ia tidak sama kalau berada di dapur di rumah sendiri kerana biasanya akan jadi malas hendak pegang pisau dan kuali. Benarkan penyataan itu?

ALIF: Persepsi itu salah sebab saya sendiri pun sendiri rajin di dapur. Jika lelaki rajin ke dapur, perkara itu tidak menunjukkan mereka lebih feminisme bahkan ramai wanita di luar sana yang mahukan lelaki rajin memasak.

CEF NIK MICHAEL: Bagi saya tidak semuanya begitu sebab saya sendiri lebih banyak masak di rumah secara profesional. Jika di tempat kerja lebih kepada pemantauan dan jaga kualiti masakan. Sebab itu, saya lebih banyak masak di rumah untuk keluarga dan diri sendiri.