Tragedi Memali: Tun M perlu minta maaf dengan Pas

A
A

Tun M perlu minta maaf dengan Pas: Asyraf Wajdi

UMNO mengingatkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meminta maaf terlebih dahulu kepada Pas berhubung tragedi berdarah Memali pada 1985 sebelum mendesak parti Islam untuk menarik balik kenyataan yang melabelkan UMNO sebagai kafir sebelum piagam kerjasama UMNO dan Pas dimeterai.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gesaan Perdana Menteri itu bukan lagi isu kepada UMNO dan perkara tersebut tidak perlu dikenang lagi.

Asyraf berkata, Dr Mahathir perlu bertanggungjawab atas peristiwa berdarah tersebut kerana insiden tersebut berlaku sewaktu era pentadbirannya.

Peristiwa Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, pada 19 November 1985 menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan Ibrahim dan 17 yang lain termasuk empat anggota polis, selain berpuluh-puluh cedera serta beratus-ratus orang ditahan.

Pertempuran itu berlaku dalam Operasi Angkara bagi menahan Ibrahim yang dianggap mengancam keselamatan negara dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam didakwa bertanggungjawab terhadap operasi itu.

Pegawai kerajaan didakwa terlibat penjualan MyKad

Beberapa individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi direman polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada seorang warga China di Pulau Pinang baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro hari ini, antara yang ditahan termasuk Timbalan Pengarah jabatan itu bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat pasport Malaysia.

Difahamkan, wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke JIM negeri bagi membuat pasport Malaysia sebelum mengemukakan MyKad miliknya yang sah namun status kewarganegaraan wanita itu diragui selepas timbul masalah komunikasi antara dirinya dan pegawai bertugas.

Menurutnya, MyKad yang dibawa wanita itu sah sebelum JIM membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Rompin catat bacaan IPU sangat tidak sihat

Kualiti udara di Rompin, Pahang mula menerjah kategori “sangat tidak sihat” dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 202 setakat 10 malam tadi.

Rompin merupakan satu-satunya kawasan di seluruh Malaysia dengan bacaan IPU sangat tidak sihat, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain Pahang, beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak mencatat IPU tidak sihat yang dikaitkan dengan fenomena jerebu yang melanda sekarang.

Kawasan terjejas ialah Batu Muda (151) dan Cheras (147) di Kuala Lumpur; Putrajaya (144); dan Petaling Jaya (141), Shah Alam (131), Klang (114), Banting (124) serta Johan Setia Klang (159) di Selangor.

Restoran Berkeley Corner akhirnya dirobohkan

Pegawai penguat kuasa akhirnya merobohkan sebuah restoran popular di sini malam tadi, 2 tahun selepas ia gagal dalam tuntutan undang-undang untuk menghentikan notis pengusiran.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang memulakan kerja perobohan Restoran Berkeley Corner yang terletak di Taman Berkeley kira-kira jam 10.30 malam tadi kerana didakwa menceroboh tanah milik kerajaan negeri yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Lebih 260 orang, termasuk pegawai penguat kuasa, polis dan anggota Bomba dan Penyelamat terlibat dalam kerja meroboh premis itu yang berakhir jam 2 pagi. Empat jengkaut dilihat di tempat kejadian.

Kawasan itu dikepung dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan.

Mavcom denda Malaysia Airports, AirAsia lebih RM1.5 juta

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan penalti lebih RM1.57 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), AirAsia dan AirAsia X.

Mavcom berkata, MA Sepang – anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad yang mengendalikan operasi di KLIA dan klia2, gagal memenuhi sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan pada suku pertama tahun ini.

Katanya, AirAsia dan AirAsia X pula didenda kerana mengenakan caj bagi kad kredit, debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, selain tambang asas.

Sementara itu, Mavcom berkata, AirAsia dan AirAsia X melanggar subperenggan 3(2) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan sepenuhnya harga muktamad tambang penerbangan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia