'PAS tidak pernah kafirkan UMNO, kami tidak perlu minta maaf'

A
A

'PAS tidak pernah kafirkan UMNO, kami tidak perlu minta maaf'

Pas dan Umno tidak perlu 'bermaafan' disebabkan isu tuduhan kafir yang sudah lama dan sengaja dihangatkan kembali.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, malah pihaknya mengulangi pendirian bahawa mereka tidak pernah pun mengkafirkan UMNO sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Sebaliknya kata Mohd Amar, ucapan yang didakwa Pas mengkafirkan UMNO itu telah diputar belit yang mengatakan Pas mengkafirkan UMNO.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mahu PAS menarik balik dan kenyataan yang mendakwa parti itu melabelkan UMNO sebagai kafir sebelum kedua-dua pihak memeterai piagam bersama.

Perbicaraan 1MDB tangguh, Najib sakit mata akibat jerebu

Perbicaraan kes 1MDB terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan hari ini kerana bekas perdana menteri itu mengalami jangkitan mata.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau menerima panggilan daripada isteri Najib, Rosmah Mansor, memaklumkan Najib mengalami konjunktivitis kerana keluar bersiar semalam.

Ini adalah kali kedua Najib tidak dapat menghadiri perbicaraan kerana jangkitan mata.

Beliau juga didiagnosis dengan jangkitan dalam kes SRC International di mana beliau menghadapi 7 tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Dalam kes 1MDB, beliau berdepan dengan perbicaraan bagi 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram atas pemindahan wang RM2.28 bilion, yang didakwa daripada dana pelaburan itu.

Kes Zakir Naik: Polis ambil keterangan Ramasamy, Satees

Polis telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, berhubung laporan polis terhadapnya yang dibuat oleh pendakwah antarabangsa dari India, Dr Zakir Naik.

Selain Ramasamy, polis turut merekodkan keterangan Adun Bagan Dalam, M Satees.

Polis sebelum ini memaklumkan akan memanggil lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, untuk dirakam percakapan, susulan laporan polis oleh penceramah bebas itu yang mendakwa mereka memfitnahnya.

Pada 16 Ogos lepas, Zakir membuat laporan polis terhadap Kulasegaran serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Satees, Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius kerana didakwa memfitnahnya berdasarkan kenyataan dalam ceramahnya di Kota Bharu, 3 Ogos lalu.

KTMB bakal perkenal koc kelas perniagaan dilengkapi pramugari

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan perkhidmatan koc “business class” (kelas perniagaan) bagi perkhidmatan tren elektrik terbarunya ETS2, bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata koc kelas perniagaan eksklusif itu, 1 daripada 6 gerabak ETS2 direka khas, sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu, selain dilengkapi kemudahan kondusif seiring jenama kelas perniagaan tersebut.

Beliau berkata tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Okt itu akan dijual mulai 8.30 pagi 12 Sept ini.

Bersempena dengan pengenalan koc baru itu, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Ipoh, Perak, manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral-Padang Besar, Perlis dan promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Okt sehingga 30 Nov 2019.

Sharnaaz tak setuju bercerai, mahkamah arah lantik wakil pendamai

Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad dan isterinya, Noor Nabila diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintahkan Sharnaaz atau nama sebenarya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, dan Noor Nabila Mohd Noor, 34, berbuat demikian selepas pelakon itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai isterinya.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sharnaaz dan Noor Nabila yang merupakan kakak kepada pengacara dan pelakon Neelofa itu mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia