Tunku Azizah kagum bakat penghuni rumah Sinar Harapan

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat penghuni Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli melakukan aktiviti menjahit ketika mengadakan lawatan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2019 di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli, Cheras hari ini. - Foto BERNAMA
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat penghuni Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli melakukan aktiviti menjahit ketika mengadakan lawatan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2019 di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli, Cheras hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bakat dan kebolehan penghuni Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli di Cheras hari ini mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menzahirkan rasa kagum dengan kemahiran mereka.

Baginda yang meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni penghuni institusi pemulihan itu sempat bertanya khabar dan memuji pelbagai kerja tangan yang dihasilkan 70 penghuni yang mempunyai masalah pembelajaran di institusi berkenaan.

“Cantiknya, pandai kamu (penghuni) buat kuih. “Nanti mak (Tunku Azizah) datang lagi, mak ajar buat kek permaisuri pula,” titah Raja Permaisuri Agong kepada seorang daripada penghuni di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli.

Tidak lokek berkongsi ilmu, Tunku Azizah yang cukup terkenal seorang yang gemar memasak secara ringkas turut berkongsi resepi kek permaisuri kepada penghuni dan tenaga pengajar di situ.

“Kita letak tepung, butter, letak susu sikit untuk moist, blackcurrent dalam dua auns cukup, tetapi saya suka lebih...kemudian letak dalam cup kecil-kecil.

"Memang sedap dimakan. Tak payah icing, kalau nak letak juga satu cukup. Lepas itu jual nama saya,” titah baginda mesra, disambut tawa mereka yang hadir.

Kunjungan Raja Permaisuri Agong merupakan sebahagian program yang diatur bersempena sambutan Ulang Tahun rasmi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong 2019 yang disambut Isnin lepas.

Melihat pula seorang penghuni menjahit apron, baginda yang terkenal dengan sikap penyayang dan peramah itu, memuji kekemasan yang dihasilkan remaja istimewa tersebut.

Artikel Berkaitan:

Malah, Tunku Azizah kemudiannya berkenan memakai apron tersebut dan membawanya pulang bersama. Semasa berangkat mencemar duli itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menghasilkan kerja tangan bersama-sama para penghuni di institut itu termasuk menyediakan sampul surat dan menghias kek.

Turut berangkat Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Dalam lawatan itu, Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada institusi itu.

Institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat itu menempatkan seramai 70 penghuni berumur antara 16-25 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran.

Dalam pada itu, Pengetua institusi itu, Siti Hajar Jelani berkata kunjungan Raja Permaisuri Agong memberi semangat kepada penghuni untuk terus berusaha meningkatkan tahap kemahiran di samping memberi kekuatan buat warga kerja dalam menjalankan tugas mendidik golongan istimewa.

“Keberangkatan Tunku Azizah serta nasihat yang diberikan dalam menjaga anak-anak istimewa ini akan menjadi panduan kami semua memikul amanah dalam membawa golongan ini menjadi modal insan yang berjaya,” katanya. -Bernama