Bicara kes 1MDB ditangguh sehingga Selasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sehingga Selasa kerana bekas perdana menteri itu mengalami jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Melalui semakan mahkamah, bekas perdana menteri itu diberi cuti sakit selama dua hari bermula hari ini dan perbicaraan kes berkenaan yang masuk hari ketujuh ditangguhkan selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib untuk menangguhkan perbicaraan.

Dalam prosiding pagi tadi, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah menerima panggilan telefon daripada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sekitar 7.15 pagi yang memaklumkan bahawa Najib mengalami jangkitan konjunktivitis pada mata akibat jerebu.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Ini merupakan kali kedua perbicaraan Najib ditangguhkan kerana bekas perdana menteri mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Kali pertama pada 14 Ogos lalu sewaktu pendengaran kes SRC International Sdn Bhd yang ditangguhkan selepas Najib diberi cuti sakit selama tiga hari kerana jangkitan virus itu.

Hari ini pasukan pembelaan dijadualkan meneruskan pemeriksaan balas bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.- Bernama