Guru Bahasa Inggeris bersara bantu program HIP Kuala Lumpur

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan menyediakan lebih banyak guru bahasa Inggeris yang telah bersara untuk kembali ke sekolah bagi membantu dalam Program Imersif Tinggi (HIP), kata Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, guru bahasa Inggeris yang sedia ada di sekolah akan menjalankan pengajaran di dalam kelas seperti biasa manakala guru Bahasa Inggeris yang bersara akan membantu menjalankan program HIP.

"Pada masa ini, kami berjaya mendapatkan 30 guru Bahasa Inggeris yang telah bersara, untuk lima negeri termasuk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak.

Kami mendapatkan khidmat semua guru bahasa Inggeris yang telah bersara ini kembali ke sekolah untuk membantu kami dalam program HIP.

"Ini untuk menggalakkan pelajar menggunakan bahasa Inggeris semasa berkomunikasi bukan sahaja di bilik darjah tetapi juga di luar kelas," katanya kepada pemberita selepas Direct English Symposium 2019 di sini hari ini.

HIP adalah program di bawah inisiatif yang dipanggil Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mewujudkan persekitaran bahasa Inggeris di sekolah.

Teo berkata, program HIP adalah projek perintis untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan program itu kini dilaksanakan sehingga akhir September dan kementerian akan menilai keberkesanannya sama ada untuk meneruskan atau tidak program tersebut.

Direct English Symposium 2019 yang dianjurkan oleh Direct English Malaysia/Melewar Learning Resources Sdn Bhd adalah platform untuk semua pakar dan pengamal bahasa Inggeris, penyedia latihan dan pelatih untuk menguasai dan berkongsi idea dalam membawa pengalaman pembelajaran Bahasa Inggeris yang terbaik kepada semua pihak berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

Direct English Malaysia menawarkan pendekatan yang sempurna dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dengan sukatan pelajaran silibus yang unik, bahan kursus dan sesi bersemuka di integrasikan sepenuhnya untuk menyediakan sistem pembelajaran lengkap, berkesan dan sangat fleksibel. - Bernama