Pulau Pinang berjerebu, catat IPU tidak sihat

Keadaan berjerebu di kawasan Georgetown.
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang dilanda jerebu dan beberapa kawasan di negeri ini mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu antara 101 hingga 122.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan pada pukul 3 petang mendapati di Minden Universiti Sains Malaysia (USM) mencecah IPU 101, manakala di Balik Pulau mencatatkan paras IPU mencecah 122.

Sementara itu di Seberang Perai dan Seberang Jaya mencatatkan IPU Sederhana iaitu 84 dan 82.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Jabatan Meteorologi Malaysia pula mencatatkan bacaan jarak ketampakan di Butterworth sejauh 4 Kilometer (km) pada pukul 2 petang manakala Bayan Lepas ialah 5km.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan mendapati pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan Bangunan Komtar kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda di Pulau Pinang sejak pagi tadi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia