Isteri Mejar Zahir hamil, tahu selepas dua hari arwah meninggal

Nour Shafinar ditemani ibunya, Saloma Ahmad pada sidang media hari ini.
A
A

IPOH - Pemergian Pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya meninggalkan 'pengganti' apabila isterinya disahkan hamil satu bulan.

Perkara itu dikongsi balu Allahyarham sendiri, Nour Shafinar Harun, 31, yang baru mengetahui kehamilannya dua hari selepas insiden itu berlaku.

Menurutnya, meskipun gembira dengan kehamilan itu, dia sedikit terkilan kerana tidak sempat berkongsi detik-detik indah itu bersama suaminya.

"Saya pun tak sedar perubahan diri sebab saya rasa biasa saja, rakan saya yang nampak bila tengok perubahan fizikal terutama badan dah naik.

"Saya kuatkan hati dan cuba lakukan 'test' menggunakan alat ujian kehamilan... Alhamdulillah sungguh benar saya mengandung, tetapi arwah tidak tahu," katanya sebak ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Perpaduan Ulu Kinta di sini.

Beliau mengakui agak bimbang sekiranya situasi semasa akan memberi kesan kepada keadaan dirinya dan menjejaskan kandungan.

"Setakat ini saya belum buat apa-apa pemeriksaan lengkap, jadi saya tak tahu keadaan semasa saya bagaimana, takut juga jika jadi apa-apa," katanya.

Jelasnya, dia bersama tiga anak, Muhammad Irfan Daniel, 10, Nur Adriana, 6, dan Izzul Zakly berusia 6 bulan, tetap dengan keputusan untuk berpindah ke Ipoh sepertimana amanat terakhir diminta Allahyarham.

"Permintaannya untuk kami balik ke Perak saya tunaikan, kami hanya ada keluarga, untuk diri saya dan anak-anak akan datang saya tak tahu lagi caranya bagaimana," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pertunjukan terakhir' mesej terakhir Mejar Zahir


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia