Rompin catat IPU sangat tidak sihat

Penguatkuasa JAS dan bomba sedang membuat pemantauan di kawasan kebakaran Kg Gading Rompin. - Foto JAS Pahang
Penguatkuasa JAS dan bomba sedang membuat pemantauan di kawasan kebakaran Kg Gading Rompin. - Foto JAS Pahang
A
A
A

KUANTAN - Rompin mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat mencecah bacaan 227 hari ini.

Daerah tersebut menjadi satu-satunya kawasan berada dalam kedudukan IPU sangat tidak sihat manakala 20 lagi kawasan dalam negara mencatat bacaan tidak sihat melebihi paras 100.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Mohd Sani Mat Daud berkata, bacaan IPU di Rompin agak membimbangkan tetapi sehingga jam 12 tengah hari sudah berlaku sedikit penurunan.

Menurutnya, keadaan tersebut disebabkan kebakaran belukar seluas kira-kira dua hektar di Kampung Gading berhampiran stesen pemantauan udara.

"Bacaan diambil bermula semalam iaitu 201 dan pada jam 10 pagi IPU mencecah 227 tetapi sudah menunjukkan penurunan.

"Kita juga yakin keadaan cuaca membantu kepada trend penurunan ini. Kebakaran kecil secara terbuka dan kebakaran hutan gambut di Sembayan juga antara penyumbang kenaikan bacaan tersebut sebelum ini," katanya.

Mohd Sani berkata, di daerah- daerah lain, IPU dicatatkan masih di bawah paras selamat.

"Di kawasan lain termasuk daerah berisiko seperti Temerloh dan Kuantan bacaan adalah di bawah paras 100.

Artikel Berkaitan:

"Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan serta memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di negara ini," katanya.

Jelasnya, JAS telah meningkatkan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.

"Kita pantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan lebih efektif kita turut menggunakan dron untuk memantau.

"Pihak bomba juga mengambil tindakan drastik memadam kebakaran dengan segera dan kita turut berikan kerjasama," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan agar lebih berwaspada dan segera melaporkan jika mendapati berlakunya kejadian kebakaran terbuka.

"Juga dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti luar dan jika terdapat simptom tidak sihat segeralah dapatkan rawatan," katanya.