KKMM pandang serius ugut bunuh wartawan

Eddin Syazlee (tiga dari kiri) ketika hadir pada majlis kesyukuran projek Baiti Jannati peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Eddin Syazlee (tiga dari kiri) ketika hadir pada majlis kesyukuran projek Baiti Jannati peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
A
A
A

KUALA PILAH - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memandang serius laporan seorang wartawan yang diugut bunuh menerusi emel dalam bahasa Inggeris baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya begitu terkesan mengenai laporan itu selain menegaskan kementeriannya mengambil berat perkara-perkara yang menjadi kebajikan terutamanya soal keselamatan pengamal media.

"Bagi kementerian sudah tentu perkara itu (ugutan ) suatu yang serius kerana melibatkan keselamatan dan kami yakin polis sedang melakukan siasatan secara terperinci mengenainya.

"Kami (kementerian) sentiasa memberikan kerjasama kepada polis terutamanya dalam membantu mengesan pemilik akaun (emel) itu agar siasatan mengenainya segera diselesaikan," katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu Eddin Syazlee mengakui Pakatan Harapan sangat terbuka dengan pengamal media susulan itu kementerian bercadang mewujudkan Majlis Media Kebangsaan.

"Kami mahu amalan kebebasan media itu benar-benar terlaksana di negara kita. Tetapi dalam kebebasan itu, pengamal media mempunyai etika yang baik, tahu tanggungjawab dan sempadan yang diberikan.

"Kementerian juga memberikan jaminan agar mereka tidak berasa terancam dalam melaksanakan tanggungjawab dan menggunakan kebebasan media sebaiknya di negara ini," katanya.

Eddin Syazlee turut meminta semua pengamal media melaporkan perkara seumpama itu di kementeriannya agar tindakan segera dapat dilakukan bersama pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seorang wartawan sebuah akhbar tempatan menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali susulan laporan berita dikeluarkan minggu lalu.

Ugutan bunuh itu diterima menerusi emel dalam bahasa Inggeris, bagaimanapun satu laporan polis tela dibuat pada hari sama.

Laporan itu seterusnya disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe bahawa polis ada menerima laporan daripada wartawan berkenaan Ahad lalu.