Pemuda UMNO persoal gaji CEO Sime Darby terlalu tinggi

Mohamed Nizham (kiri) menunjukkan dokumen rahsia yang didakwa berkaitan penggabungan GLC yang menjaga kepentingan Bumiputera dengan syarikat swasta (bukan Bumiputera).
Mohamed Nizham (kiri) menunjukkan dokumen rahsia yang didakwa berkaitan penggabungan GLC yang menjaga kepentingan Bumiputera dengan syarikat swasta (bukan Bumiputera).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mempertikaikan kelulusan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby Property (Sime Darby) yang didakwa gajinya mencecah sehingga RM265,000 sebulan.

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, lantikan CEO daripada pengarah eksekutif syarikat swasta itu melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan gaji semasa oleh pemangku CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan sebanyak RM62,000 sebulan.

Menurutnya, biarpun pemangku CEO mengatakan perkara itu sebagai khabar angin namun perkara itu tidak mustahil susulan isu tersebut berada di luar pengetahuannya.

"Khabar angin ini adakala betul dan sebaliknya. Keputusan ini sudah pasti bukan di bawah pengetahuannya memandangkan perkara itu diputuskan oleh pengurusan eksekutif syarikat.

"Jika ini berlaku, ia bakal menjejaskan peranan Sime Darby yang merupakan platform membantu peniaga Melayu bersaing dalam dunia perniagaan. Perkara itu mungkin tidak dihayati, memandangkan syarikat swasta sifatnya mengejar keuntungan bukan memberikan keuntungan kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Warisan Batu di sini hari ini.

Dakwanya, pelantikan itu juga bakal menyebabkan penstrukturan pengurusan kanan Sime Darby yang mana barisan kepimpinan bukan bumiputera melebihi 60 peratus dan dijangka meningkat.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami supaya isu ini didedahkan kepada umum kerana ia melibatkan kepentingan rakyat. Isu sama telah dibincangkan secara terbuka oleh Datuk A Kadir Jasin (Penasihat Media kepada Perdana Menteri) dan Tan Sri Rais Yatim.

"Kini pelantikan ini seperti tidak akan diteruskan. Ini adalah kejayaan terbesar rakyat selepas maklumat itu tersebar sehingga tindakan diambil oleh kepimpinan Sime Darby. Inilah hebatnya kuasa rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu katanya, beliau ingin memaklumkan kepada kerajaan yang pihaknya mengetahui situasi yang berlaku dan mahu kerajaan bertindak dengan mempertahankan entiti bumiputera daripada campur tangan syarikat swasta (bukan Bumiputera).

"Lebih banyak pendedahan akan dilakukan pada masa akan datang. Dari sumber boleh dipercayai sekurang-kurangnya enam lagi entiti bumiputera bakal dirobek melalui gabungan syarikat swasta.

"Kami khuatir penggabungan ini akan menjejaskan kepentingan bumiputera. Kami desak segala keraguan pencairan pegangan bumiputera diberi tumpuan. Seperti ada gerakan untuk melumpuhkan kedudukan ekonomi Bumiputera," katanya.

Menerusi perkongsian A Kadir Jasin di laman sosial Facebook pada 26 Ogos lalu mempersoalkan desas-desus mendakwa lantikan CEO dengan gaji yang tinggi.

Dalam hantaran sama, beliau turut bertanyakan kesahihan pengurusan syarikat itu kini hanya 40 peratus daripada bumiputera.