AIM alu-alukan penegasan PM perkasa wanita dalam perniagaan

Junaidah Kiting
Junaidah Kiting
A
A
A

PUTRAJAYA - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan penekanan untuk memperbesarkan peluang serta keupayaan ekonomi golongan wanita termasuklah di luar-luar bandar.

Pengerusi AIM, Datuk Junaidah Kiting berkata, penegasan Perdana Menteri itu merupakan satu khabar gembira buat golongan wanita dan amat dialu-alukan oleh AIM yang merupakan sebuah entiti yang telah berjaya melahirkan golongan wanita dalam perniagaan sekaligus mengeluarkan rakyat daripada kemelut kemiskinan sejak ditubuhkan 31 tahun lalu.

“Cadangan Perdana Menteri yang mahu membesarkan keupayaan AIM juga merupakan satu langkah strategik yang mana kita percaya ia akan mengukuhkan sosio-ekonomi Bumiputera terutamanya golongan wanita.

”Malah peluang kepada golongan wanita dalam perniagaan juga akan terbuka luas menerusi usaha penambahan modal, lesen dan kontrak kepada golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon balas kepada kenyataan Dr Mahathir ketika ucapan dasar selaku Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak kepada kaum wanita termasuk di kampung.

Dalam ucapannya itu juga, Dr Mahathir mengumumkan akan membesarkan peranan AIM bagi menjayakan hasrat kerajaan itu.

Junaidah berkata, AIM yakin disiplin golongan wanita dalam perniagaan adalah tinggi.

Artikel Berkaitan:

”Berdasarkan rekod AIM, 98.5 peratus peminjam di bawah AIM melaksanakan komitmen mereka membuat bayaran balik pinjaman mereka seperti yang ditetapkan.

“AIM turut merekodkan nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) pada kadar 1.5 peratus. Kadar itu adalah di bawah paras standard antarabangsa iaitu pada kadar 2 peratus,” katanya.

Pada masa sama, AIM komited untuk terus menjadi contoh terbaik dalam mewujudkan lebih ramai penyertaan wanita dalam perniagaan termasuk membimbing mereka dalam mengembangkan keupayaan termasuklah meneroka peluang-peluang baharu.