Enam syarikat AI UK bakal tubuh operasi di Malaysia

Natalie Black - Foto Ihsan Twitter
A
A

DALAM usaha untuk memperkukuh hubungan teknologi antara Malaysia dan United Kingdom (UK), enam syarikat kecerdasan buatan (AI) UK akan menubuhkan operasi di negara ini dalam waktu terdekat.

Pesuruhjaya Perdagangan UK bagi Asia Pasifik Natalie Black berkata, kerjasama itu selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mempromosikan etika AI dengan beberapa pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu akhir-akhir ini.

"Kami telah mengadakan perbincangan kerajaan dengan kerajaan di mana kami telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika beliau berkunjung ke UK pada awal tahun ini," katanya pada persidangan NextBigTech Asia 2019 di sini, hari ini.

Kerjasama teknologi antara Malaysia dan UK, katanya, akan memacu penerapan AI dalam Revolusi Industri 4.0 pada kadar lebih cepat kerana ia dapat meningkatkan produktiviti secara menyeluruh.

Penyelidikan yang dijalankan termasuk oleh Microsoft, menurut pesuruhjaya perdagangan itu telah menunjukkan guna pakai AI pada kadar lebih tinggi akan dapat mendorong inovasi serta meningkatkan produktiviti sebanyak 60 peratus.

Beliau juga berkata, persekitaran AI yang selamat akan menyumbang kepada ekonomi global yang lebih sihat dan lebih adil.

Semasa lawatannya ke UK pada Februari tahun ini, Gobind dan delegasinya dilaporkan mengadakan siri pertemuan dengan pegawai kerajaan UK untuk meneroka kerjasama dalam beberapa bidang termasuk AI, keselamatan siber, 5G dan kandungan kreatif.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Century Tech Priya Lakhani berkata, syarikat itu menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan untuk membawa teknologi AI ke sekolah di Malaysia.

Menurutnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertemuan antara mereka baru-baru ini menyatakan minatnya untuk membolehkan orang ramai menggunakan teknologi yang betul

"Beliau (Dr Mahathir) sangat berminat dengan apa yang ditawarkan oleh Century Tech semasa kami menunjukkan kepadanya apa yang kami ada. Beliau bercita-cita untuk meletakkan guru terbaik di Malaysia di hadapan setiap kanak-kanak, " katanya

"Syarikat ini melantik sekolah terpilih dalam usaha untuk meningkatkan pendidikan di peringkat global termasuk di Malaysia dan adalah menjadi aspirasi kami untuk meningkatkan pendidikan global dengan teknologi semasa terutamanya AI," katanya.