Ops pengemis: Bayi perempuan tiga bulan diselamatkan

JKM menyerahkan ibu bayi tersebut kepada AADK sementara bayinya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar buat sementara waktu.
A
A

JITRA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 3 bulan yang dibawa ibunya meminta sedekah di kaki lima sebuah bank di Alor Setar dalam Ops Sepadu Pengemis dan Kutu Rayau di sekitar daerah Kubang Pasu dan Kota Setar malam tadi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah, Halimaton Shaadiah berkata, hasil pemeriksaan air kencing mendapati ibu bayi berkenaan, 30-an, positif dadah dan dia diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan seterusnya.

Menurutnya, JKM terpaksa mengambil bayi tersebut dan menempatkannya di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar buat sementara waktu.

Dari kiri, Azmi dan Halimaton yang memangku bayi tersebut semasa tiba di Pejabat JKM Kedah di Anak Bukit, Alor Setar.
Dari kiri, Azmi dan Halimaton yang memangku bayi tersebut semasa tiba di Pejabat JKM Kedah di Anak Bukit, Alor Setar.

"Anggota pelindung kanak-kanak JKM Kedah juga ke rumah wanita berkenaan di Alor Setar dan mendapati terdapat dua lagi anaknya yang berusia 3 dan 4 tahun.

"Anak-anak ini juga disyaki terabai dan dibawa ke wad sama untuk pemeriksaan kesihatan. Mereka kini berada di bawah pengawasan JKM," katanya pada sidang media selepas operasi yang turut disertai Pengarah JKM Kedah, Azmi Abd Karim.

Halimaton berkata, seramai 12 peminta sedekah termasuk dua lelaki orang kurang upaya (OKU) warga Thailand dan Kemboja berusia 50-an ditahan di pasar malam Kepala Batas dekat sini dalam operasi selama lebih enam jam itu yang bermula kira-kira jam 6.30 petang.

Pemeriksaan air kencing terhadap ibu bayi tersebut mendapati positif dadah.
Pemeriksaan air kencing terhadap ibu bayi tersebut mendapati positif dadah.

Katanya, OKU warga asing yang kudung kaki dan buta sebelah mata telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala pengemis dan kutu rayau tempatan dibawa ke Pejabat JKM Kedah di Anak Bukit, Alor Setar untuk dokumentasi sebelum dihantar tinggal buat sementara di rumah perlindungan JKM.

"Kempen untuk memberi kefahaman kepada orang awam seperti ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ juga diadakan agar mereka dapat menyalurkan bantuan ke tempat yang betul seperti rumah anak yatim, pusat kutipan zakat, NGO (badan bukan kerajaan) dan pusat-pusat ibadat.

"Orang ramai perlu berhati-hati dan tidak tertipu kerana sebahagian pengemis ataupun peminta sedekah warga asing ini menjadikan aktiviti meminta sedekah sebagai sumber pendapatan dan ada dalam kalangan mereka mendapat sekitar RM100 sehingga RM300 sehari," katanya.

Dalam pada itu, sepanjang Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 67 operasi dijalankan di seluruh negeri di mana seramai 121 orang pengemis dan kutu rayau diselamatkan termasuk 35 warga asing melibatkan jumlah kutipan sedekah RM7,541.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia