Moorthy wajar disiasat: Timbalan Mufti

Zamri Hashim
A
A

IPOH - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy wajar disiasat sepertimana pemimpin yang lain berikutan tindakan memburuk-burukkan nama kerajaan di luar negara juga disifatkan sebagai biadab.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, siasatan perlu dibuat tanpa pilih kasih terutama membabitkan soal perpaduan kaum di negara ini.

"Sepertimana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiasat dan didakwa dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, maka Waytha Moorthy juga perlu disiasat atas kenyataan itu.

"Kita menggesa pihak berkuasa supaya membuat siasatan segera tanpa sebarang pilih kasih sama ada individu itu menteri, bekas menteri mahupun orang awam," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini sebagai mengulas kenyataan Waytha Moorthy dalam satu video yang tular.

Semalam, video berdurasi lebih 2 minit yang menunjukkan rakaman temubual bersama Waytha Moorthy tular di laman sosial dan mengundang kemarahan banyak pihak.

Bagaimanapun Waytha Moorthy mengakui kewujudan rakaman video dan mendakwa ia adalah video lama yang dirakam 10 tahun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Itu kisah lama, Moorthy' ]

Dalam pada itu Zamri berkata, kerajaan seharusnya meneliti latar belakang setiap pemimpin sebelum mengangkat mereka sebagai menteri kabinet.

Menurutnya, aspek paling penting yang perlu diteliti pada dalam setiap anggota kabinet adalah tahap ketaatan mereka kepada negara.

“Keperibadian seperti Moorthy yang pernah memburuk-burukkan negara dan membuat fitnah kepada negara sangat tidak layak dilantik menjadi seorang menteri. Lebih-lebih lagi dia memegang potfolio menjaga perpaduan rakyat yang berbilang kaum.

“Malah, kenyataannya sebelum ini berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sangat menggores hati majoriti umat Islam yang berbangsa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mempengaruhi kerajaan meratifikasi ICERD bakal menggugat perpaduan sesama rakyat di negara ini.