Tiada kompromi pengusaha Tanah Tinggi Lojing langgar SOP

Tuan Saripudin menyampaikan bantuan baja organik kepada penerima di program tersebut.
Tuan Saripudin menyampaikan bantuan baja organik kepada penerima di program tersebut.
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan negeri tidak berkompromi dengan mana-mana syarikat pengusaha tanah di Tanah Tinggi Lojing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat orang asli di kawasan berhampiran.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau & Alam Sekitar Pahang, Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan meletakkan syarat ketat kepada pengusaha melalui Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pematuhan SOP.

"Kita mengeluarkan pekeliling yang sudah diamalkan pengusaha sejak dahulu lagi antaranya kerja-kerja buka tanah termasuk di musim tengkujuh bagi memastikan aspek keselamatan terjaga.

"Tidak dinafikan ada syarikat pengusaha yang melanggar peraturan ditetapkan dan mereka dikenakan tindakan tegas," katanya selepas merasmikan Karnival Jajahan Agro Al Falah, Bertani Satu Ibadah jajahan Gua Musang semalam.

Menurutnya, pihak yang terlibat akan berdepan tindakan tegas jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Dalam SOP juga kita tingkatkan penguatkuasaan supaya kerja-kerja yang dijalankan tidak mengganggu atau menjejaskan penempatan atau kawasan berhampiran," katanya.

Baru-baru ini, lebih 400 penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Jedip, Pos Brooke di sini, mendakwa pengusaha syarikat kebun sayur menyodok kawasan tanaman mereka untuk kerja-kerja pembukaan tanah.

Dakwa mereka, bukan sahaja kawasan tanaman malah kubur ahli keluarga mereka juga turut dimusnahkan.

Artikel Berkaitan:

Tuan Saripudin berkata, kes itu dalam tindakan kerajaan negeri selain Yayasan Amanah Tok Kenali turut turun berbincang dengan orang asli yang diketuai oleh tok batin dan ketua kampung mereka.

"Perkara ini sudah ada jalan penyelesaian kerana didapati ada sedikit salah faham dalam kalangan orang asli.

"Bagaimanapun, kita akan tingkatkan penguatkuasaan dan bulan Oktober nanti kita menyusun seminar kepada semua pengusaha Tanah Tinggi Lojing," katanya.

Dalam pada itu, karnival anjuran Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang itu diadakan di tapak pasar malam Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B, selama dua hari bermula semalam.