Restoran terkenal diroboh selepas 20 tahun beroperasi

Restoran terkenal berhampiran Bulatan Bukit Raja yang dirobohkan dalam satu operasi malam tadi. FOTO: Ihsan PTD Klang
Restoran terkenal berhampiran Bulatan Bukit Raja yang dirobohkan dalam satu operasi malam tadi. FOTO: Ihsan PTD Klang
A
A
A

KLANG - Sebuah restoran terkenal berhampiran Bulatan Bukit Raja di sini dirobohkan malam tadi selepas hampir 20 tahun beroperasi di tapak berkenaan.

Tindakan perobohan struktur bangunan restoran dilaksanakan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang dibantu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

PTD Klang menerusi satu kenyataan berkata, operasi bermula jam 8.30 malam hingga 1 pagi itu turut disertai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 berikutan berlaku pencerobohan tanah kerajaan melibatkan sebahagian rizab kawasan lapang dan Lebuhraya Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, pencerobohan tanah kerajaan atau pendudukan tidak sah merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Tindakan semalam selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 19 Julai lalu yang memutuskan pihak plaintif perlu merobohkan struktur bangunan di atas tapak berkenaan dalam tempoh satu bulan atau perlu menanggung kos perobohan tersebut.

“Pentadbir Tanah Klang mengeluarkan satu notis peringatan pada 26 Ogos lalu dan memberi tempoh tujuh hari kepada pemilik mengosongkan tapak.

“Akibat kegagalan dan keengganan pemilik mematuhi notis dikeluarkan, tindakan penguatkuasaan dijalankan semalam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, keadaan terkawal ketika kerja perobohan dijalankan dan cubaan untuk menghalang operasi berjaya dileraikan dengan aman oleh pihak polis.

Katanya lagi, kerja- kerja pembersihan akan diteruskan hari ini oleh pihak kontraktor dan MPK dengan dipantau pihak polis.