Mencuri kerana tiada duit beli barang dapur

Perkongsian yang tular di media sosial.
Perkongsian yang tular di media sosial.
A
A
A

PARIT - Seorang ibu tiga anak yang tular di media sosial selepas ditahan mengambil barang dalam sebuah pasar raya di Bandar Universiti Seri Iskandar semalam hanya bergantung kepada pendapatan sekitar RM500 sebulan.

Wang yang diperoleh hasil mengasuh anak orang itu tidak mencukupi untuk menampung segala keperluan rumah kerana turut digunakan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak yang berusia 4, 6 dan 10 tahun.

Perkara itu diakui aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh yang pernah membantu keluarga berkenaan sejak setahun lalu.

Menurutnya, wanita berusia 31 tahun itu ditinggalkan suami yang menghilangkan diri sejak lebih dua tahun lalu.

"Semalam dalam jam 1 petang, dia sempat menghantar mesej kepada saya maklumkan yang dia tiada wang untuk beli barang-barang dapur, sebab itu dia buat keputusan untuk mengambilnya.

"Barang-barang itu semua untuk makan dan kegunaan anak-anaknya di rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Menerusi perkongsian yang tular, wanita itu akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencuri beberapa barangan dalam pasar raya terbabit termasuklah ayam mentah.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan yang diambil dari pasar raya terbabit.
Antara barangan yang diambil dari pasar raya terbabit.

Turut dinyatakan bahawa kes berkenaan langsung tidak mendapat tolak ansur daripada pengurusan pasar raya meskipun ada pihak mahu membantu menyelesaikannya tanpa melibatkan laporan polis.

Rohaidatul berkata, pihaknya pernah menyalurkan bantuan barangan dapur dan wang tunai serta beberapa sumbangan lain namun bukan dalam bentuk bantuan bulanan.

"Saya dimaklumkan wanita ini dalam proses penceraian dan dia tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain mengambil upah mengasuh sahaja," katanya.

Katanya, beliau bersama Amal Team sudah berunding semalam agar wanita itu diberi pengecualian kerana kasihan mengenangkan anak-anak yang masih kecil.

"Tetapi pihak pengurusan pasar raya tetap mahu membuat laporan menyebabkan dia terpaksa ditahan di balai polis. Anak-anaknya dijaga sementara oleh ahli keluarga yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso mengesahkan penahanan seorang wanita kerana mencuri barang dalam pasar raya semalam.

Menurutnya, antara barangan curi yang ditemui adalah sabun mandi, dua paket ayam mentah, satu kiub tulang ayam dan serbuk lada hitam yang dianggarkan bernilai hampir RM80.

"Wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kini dimaklumkan dalam proses penceraian. Dia akan dituduh di Mahkamah Parit hari ini di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.