Lazatnya durian, tetapi...

A
A
A

Medik

DALAM kalangan masyarakat kita, ada dua jenis makanan yang boleh menyatukan dan boleh 'memecah-belahkan'. Pertama ialah kambing dan kedua, durian. Meskipun itu merupakan percakapan secara seloroh, bagi penulis, kadang-kadang ia ada benarnya.

MAKAN beberapa ulas sahaja untuk kesihatan.
MAKAN beberapa ulas sahaja untuk kesihatan.

Apabila bercakap tentang durian, raja buah itu umpama seperti ada 'kuasa sakti'. Orang yang sedang dibelenggu sakit misalnya, adakalanya tidak mengendahkan penyakitnya semata-mata mahu menikmati kepuasan seulas durian. Hal itu selalu terjadi, bukan?

Sebelum pergi jauh, terdapat satu kisah yang ingin penulis kongsikan tentang durian. Seperti adik-beradik lain, penulis berpegang teguh kepada saranan doktor untuk tidak 'membawa masuk' durian ke rumah lantaran ibu penulis yang mempunyai penyakit tiga serangkai.

Namun sudah mahu dijadikan cerita, prinsip yang kami patuh dirobekkan sendiri oleh ibu penulis yang secara diam-diam membeli buah berkenaan dan memakan secara sendirian. Natijahnya, beberapa jam selepas itu, beliau diserang sawan dan sehingga kini wanita pujaan hati penulis itu lumpuh separuh badan. Apa yang pasti 'tragedi' itu kerana durian, namun ada juga yang tidak setuju.

Sesuai dengan musim durian yang sedang hangat berbuah di Malaysia dan Thailand kini, Sihat:Aktif mewawancara Pegawai Dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia, Ruqayyah Muhammad bagi mendapatkan persepsi tentang raja buah itu.

RUQAYYAH
RUQAYYAH

Artikel Berkaitan:

Ketika ditemu bual, Ruqayyah berkata, sudah namanya buah, pastinya ia mempunyai pelbagai kebaikan kesihatan.

"Buah itu mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral seperti kalsium, magnesium, kalium dan zat besi. Antara kebaikan yang dihasilkan oleh buah durian ialah ia kaya dengan antioksidan yang mampu membantu menghalang penyakit kanser.

"Kandungan folat dan zat besi di dalam buah durian juga akan membantu penghasilan sel darah merah. Ia membantu mengelakkan anemia atau sel darah merah yang rendah.

"Kandungan vitamin C yang ada pada buah durian bertindak membantu meningkatkan imuniti tubuh. Penyerapan zat besi juga lebih baik. Sementara, (kandungan) kalium dan kalsiumnya juga membantu meningkatkan kesihatan tulang dan menurunkan tekanan darah," katanya kepada Sihat:Aktif.

Bukan itu sahaja, menurutnya, penggemar buah durian juga akan mendapat manfaat melalui rumusan asid amino jenis tryptophan yang akan menghasilkan serotonin dan melatonin yang membantu mengawal emosi.

DURIAN boleh mempengaruhi tekanan darah dan kadar denyutan jantung.
DURIAN boleh mempengaruhi tekanan darah dan kadar denyutan jantung.

Menariknya, hasilnya mampu mengurangkan stres, insomnia dan depresi bahkan unsur trytophan durian membantu seseorang tidur dengan lebih lena.

Terang Ruqayyah lagi, kandungan serat di dalam durian turut membantu penghadaman tubuh.

Serat yang tinggi akan mengurangkan masalah sembelit, usus tersumbat seterusnya boleh mengurangkan risiko kanser usus, ujar beliau panjang lebar.

Implikasi

Dalam apa juga situasi, lazimnya kita digalakkan itu bersederhana. Begitu juga dalam konteks durian. Kepada penggemar buah itu, sebaiknya tidak dimakan secara berlebihan.

Buah durian mempunyai kalori yang tinggi apabila dinikmati dalam kuantiti yang banyak, kata Ruqayyah.

"Dua ulas buah durian sudah memberikan 60 kalori dalam 15 gram karbohidrat. Bayangkan jika diambil satu biji buah yang mempunyai berulas-ulas durian, ia sudah melebihi kalori harian.

"Ini antara penyebab durian sering dikatakan boleh menyebabkan kegemukan dan meningkatkan kolesterol, walhal tidak. Kolesterol hanya terdapat pada haiwan sahaja,” jelasnya.

Ujarnya lagi, keadaan itu boleh berlaku jika pengambilan diet harian sudah tinggi kandungan lemak dan kolesterol.

"Jika hanya makan sekadar satu hingga dua ulas, ia langsung tidak akan meningkatkan paras kolesterol," kata Ruqayyah.

Seperkara menurutnya, kandungan karbohidrat yang tinggi dalam buah durian juga mampu menyebabkan kenaikan aras gula dalam darah sekiranya dimakan berlebihan.

"Pesakit diabetes perlu berhati-hati dengan pengambilan buah ini. Sebarang kemungkinan boleh berlaku andai gula dalam darah tidak terkawal," katanya.

Mengulas tentang makan buah durian menyebabkan panas badan, jelas Ruqayyah, ia berlaku jika buah itu dimakan dalam jumlah yang banyak.

Wanita mengandung

Kenyataan Ruqayah disokong oleh Pengamal Perubatan Keluarga Poliklinik Az-Zaara, Ampang Kuala Lumpur, Dr Mohd Ramzul Adli Mohammad. Kata Dr Mohd Ramzul, durian mengandungi tinggi gula dan potassium.

DR MOHD RAMZUL
DR MOHD RAMZUL

"Jika hanya makan beberapa ulas sahaja tidak akan memberi sebarang perubahan drastik dalam badan. Ia juga tidak akan memberi kesan secara langsung seperti pesakit mengalami lumpuh, sawan, menggigil atau sebagainya.

"Pun begitu, beringatlah wahai individu yang mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti kencing manis, penyakit buah pinggang dan sebagainya.

"Gula yang tinggi terdapat pada buah durian boleh menyebabkan paras gula dalam darah pesakit kencing manis meningkat mendadak," katanya.

Ujar beliau, masalah hyperkalemia (akibat terlebih potasium) biasanya berlaku misalnya kepada pesakit buah pinggang yang berada pada tahap akhir (menyebabkan masalah cardiac arrest).

"Pesakit boleh meninggal dunia akibat masalah jantung yang terhenti!,” kata Dr Mohd Ramzul kepada Sihat:Aktif.

Terang beliau lagi, bagi individu normal, tiada masalah kenaikan gula dalam badan atau dehidrasi selepas makan durian. Disebabkan kenaikan itu dapat dikawal segera dengan menukarkan glukos tadi kepada glikogen untuk disimpan. Namun pengambilan air kosong masih digalakkan selepas makan durian untuk mengurangkan risiko dehidrasi walaupun individu yang sihat.

MINUM banyak air untuk meneutralkan rasa durian.
MINUM banyak air untuk meneutralkan rasa durian.

"Ramai juga mengatakan ibu hamil tidak boleh makan durian bimbang boleh menyebabkan keguguran dan sebagainya. Buat masa ini, tiada kajian saintifik yang mengaitkannya dengan masalah kepada ibu mengandung," jelasnya lagi.

Sememangnya, durian merupakan buah yang berkhasiat. Namun semua benda di dunia ini ada kesan sampingannya dan untuk selamat ambil dalam kuantiti berpada-pada, saran Dr Mohd Ramzul.

Implikasi makan ubat selepas nikmati durian

"UBAT tidak boleh diambil apabila makan durian kerana dipercayai boleh membahayakan kesihatan." Itu kenyataan yang sering dilaung-laungkan oleh sesetengah individu.

Benarkah?

Bagi menjawab pertanyaan demikian, Pegawai Farmasi, Hospital Universiti Sains Malaysia, Khairul Bariah Johan berkata, tiada kajian jelas mengenai hal yang terbabit.

KHAIRUL BARIAH.
KHAIRUL BARIAH.

Begitu juga tiada penyelidikan khusus untuk membuktikan bahawa durian boleh membahayakan mereka yang mengambil ubat darah tinggi atau kencing manis.

"Namun, pesakit kencing manis dan darah tinggi serta penyakit yang berkaitan perlu mengehadkan pengambilan buah durian disebabkan kandungan potassium dan gulanya yang tinggi.

"Kandungan potassium dalam buah durian menyebabkan seseorang yang mempunyai penyakit darah tinggi, misalnya perlu mengawal pengambilan durian.

"Ekoran paras potasium yang tinggi boleh mempengaruhi tekanan darah dan kadar denyutan jantung. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kesan ubat kencing manis atau darah tinggi terganggu,” ujar Khairul Bariah.

Jelas beliau lagi, terdapat satu kajian tempatan yang telah dijalankan ke atas tikus berkaitan bagaimana durian mempengaruhi suhu badan dan interaksi durian dengan ubat paracetamol.

Hasil kajian tersebut menemukan bahawa peningkatan suhu badan tikus dengan pengambilan durian adalah tidak ketara.

DURIAN mampu membuat seseorang tidur dengan lebih lena.
DURIAN mampu membuat seseorang tidur dengan lebih lena.

Sementara itu, interaksi durian dengan paracetamol menunjukkan penurunan suhu badan tikus yang ketara, yang mana itu mungkin boleh dikaitkan dengan kesan toksik antara dua campuran ini.

Bagaimanapun, mekanisme kesan toksik itu masih belum diketahui.