Bukan salah Wan Kuzain: Sathianathan

Sathianathan percaya kehadiran Wan Kuzain bakal beri nilai tambah kepada skuad B-23 negara yang akan beraksi pada Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini. Gambar kecil: B Sathianathan
Sathianathan percaya kehadiran Wan Kuzain bakal beri nilai tambah kepada skuad B-23 negara yang akan beraksi pada Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini. Gambar kecil: B Sathianathan
A
A
A

Penyokong bola sepak di negara ini tidak seharusnya menyalahkan pemain berdarah Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal mengenai keputusannya yang tidak mahu menyarung jersi Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, keputusan yang dibuat Wan Kuzain itu tidak salah dan ia hak pemain tersebut untuk beraksi bersama pasukan yang dimahukannya.

“Tidak boleh nak salahkan Wan Kuzain dan saya memahami situasinya. Jika dia bermain dengan pasukan kebangsaan yang ketika itu berada dalam prestasi yang teruk, sudah pasti dia akan putus asa. Kudrat dia seorang tidak boleh buat apa-apa dalam pasukan.

“Kalau Harimau Malaya mampu jadi antara 10 pasukan terbaik di Asia, mungkin dia akan terbuka hati untuk membantu pasukan kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar semalam.

Sebelum ini, Wan Kuzain menyatakan kesediaannya untuk mewakili skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara. Namun, pemain berusia 20 tahun itu tidak menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana ingin mencuba nasib bersama skuad kebangsaan AS.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang penyokong negara yang menyifatkan Wan Kuzain hanya mementingkan diri sendiri dengan menjadikan skuad B-23 medium untuknya mengekalkan kecergasan ketika Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) berehat.

“Dia masih muda dan kadang-kadang kita perlu beri nasihat. Apabila dia sudah ada dalam skuad B-23, mungkin hasrat dia akan berubah dan akan menyarung jersi negara. Kita tak tahu apa yang akan berlaku,” jelasnya.

Sathianathan percaya kehadiran Wan Kuzain bakal memberikan nilai tambah kepada skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan beraksi pada Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau memberitahu, Wan Kuzain tidak seharusnya terlepas melalui proses pemilihan dan perlu membuktikan dirinya layak untuk bermain bersama skuad B-23 negara.

“Kalau sudah bermain bersama pasukan kelab di AS, sudah tentu dia berada pada tahap yang tinggi berdasarkan pengalamannya berada di sana sejak kecil,” katanya.