Roslin: Bukan pentas ujian sebenar

Aksi V Shem dan Wee Kiong semasa aksi final beregu lelaki Terbuka Taiwan, Ahad lalu. Foto: EPA
A
A

“Terbuka Taiwan bukan pentas ujian sebenar untuk uji keupayaan karakter sebenar pemain negara.” Itu kesimpulan dibuat bekas pemain badminton perseorangan negara, Roslin Hashim ketika mengulas prestasi skuad negara pada Terbuka Taiwan yang berakhir Ahad lalu.

Roslin berkata, barisan pemain negara belum bertemu lawan sebenar mereka terutamanya dalam kalangan pemain terbaik dunia.“Lawan sebenar pemain negara adalah dalam kalangan 10 atau lima pemain terbaik dunia, tidak ramai nama besar mengambil bahagian pada kejohanan kali ini.

“Namun, dari segi pencapaian, ia dianggap baik bagi beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kerana mereka menjuarai edisi kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar semalam.

Bagi Roslin, beberapa pemain negara yang lain disifatkannya gagal kerana bersandarkan status, mereka sekurang-kurangnya mara ke pentas semi final.

“Mana yang kalah tu memang gagal, andai kejohanan yang tahap sebegini pun tewas (awal), bagaimana pula nak main (pada Sukan) Olimpik? Saingan Olimpik lebih besar dan mencabar kerana terdapat nama-nama besar sukan badminton dunia.

“Sekarang andai pemain negara nak letak sasaran yang lebih tinggi, mereka sepatutnya meraih seberapa banyak kejuaraan pada kejohanan di peringkat bawahan ini,” jelasnya.

Roslin menegaskan, barisan pemain negara seharusnya menampilkan rentak lebih baik di Taiwan selepas aksi hambar pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland bulan lalu.

“Pada saya Terbuka Taiwan pentas terbaik kepada pemain negara, baik acara perseorangan atau beregu campuran kembali beraksi cemerlang tapi sebaliknya yang berlaku.

“Sebagai contoh, Lee Zii Jia sepatutnya mengekalkan kejuaraan perseorangan lelaki atau setidak-tidaknya mara ke semi final tapi dia tersingkir pada pusingan kedua,” ujarnya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia