Ingatan untuk pemain industri buku

A
A
A

SELAIN daripada Frankfurter Buchmesse ataupun Frankfurt Book Fair iaitu pesta buku yang paling terbilang di dunia, mereka di dalam industri buku kini turut memerhatikan Beijing International Book Fair 2019 (BIBF). Pesta buku yang baru sahaja berlangsung pada Ogos lalu di Beijing telah menjadi mercu tanda dan juga penanda aras kepada industri buku dunia.

Pesta buku itu dibanjiri 320,000 pengunjung dan lebih separuh daripada 2,600 peserta di pesta buku itu adalah daripada lebih 95 buah negara. Selain daripada penganjurannya di negara yang mempunyai paling ramai penduduk di muka bumi ini, China juga terkehadapan dalam teknologi maklumatnya. Teknologi 5G yang kini dikuasainya dapat diaplikasikan dengan selesa dan dengan jayanya.

Dalam salah sebuah acaranya, angkasawan wanita China yang pertama, Wang Yaping telah ditemubual secara langsung di tapak pesta. Temubual itu dipancar kepada lebih 80,000 buah sekolah di China dan disaksikan oleh 60 juta pelajar. Apa yang menarik ialah, Wang Yaping tidak ada bersama. Sebaliknya, imej yang menggunakan teknologi 5G memperlihatkan seolah-olah angkawasan itu duduk bersebelahan dengan juruacara! Imejnya muncul ‘sebiji’ kata orang.

Apa pula kena-mengena temubual itu dengan pesta buku? Ini adalah sebuah persoalan yang menarik. Tanpa kita sedari, pesta buku semakin jauh melangkah daripada mengutamakan buku sebagai medium membaca. Pengarah BIBF 2019, Liying Lin sendiri mengakui bahawa penerbitan bukan lagi mengenai buku!

Peserta yang datang pun bukan sahaja daripada industri buku cetak malah daripada latar belakang hiburan, pendidikan dan teknologi. Buku fizikal bukan lagi menjadi medium utama. Sebaliknya platform membaca mula beralih kepada aplikasi video dan audio dengan persembahan kartun dan permainan melalui pelbagai format.

Jika masyarakat Asia belum selesa membacakan buku kepada anak-anak mereka sebagai satu budaya keluarga, kini terdapat aplikasi yang membantu. Sebuah syarikat, Ling Technologies menyediakan sebuah robot kecil yang boleh membaca untuk anak-anak. Malah, robot itu boleh diprogram untuk menghasilkan suara ibu atau bapa di anak! Terdapat pelbagai lagi syarikat yang menghasilkan permainan berbentuk hiburan untuk menggalakkan anak-anak mendapat ilmu, bukan sekadar membaca, malah melalui alat pandang dengar. Alat virtual reality dan juga augmented reality kian popular sebagai medium menyampaikan ilmu.

Melihat pada perkembangan atau bagaimana pula dengan keadaan di Malaysia? Apa yang saya boleh katakan, kita kian jauh ketinggalan bukan sahaja dalam industri buku, malah dalam industri pembacaan. Malah, kita harus menganut sebuah definisi baharu dalam menuntut ilmu. Ia bukan lagi dengan memperkukuhkan industri buku, sebaliknya memperkasakan industri pembacaan.

Mari kita berfikir di luar kotak. Tamadun dibina melalui pembelajaran ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan pula bukan setakat diperoleh melalui membaca, malah kini melalui tontonan dan pendengaran. Buku cetak pula bukan lagi medium utama untuk memperoleh ilmu. Kita lihat penumpuan kita semua di dalam industri buku ialah meningkatkan jualan buku, sedangkan buku bukan lagi pilihan utama. Yang lebih penting, kita tidak boleh lagi membina industri buku, sebaliknya industri pembacaan.

Artikel Berkaitan:

Saya pernah berbual dengan seorang penerbit buku pada suatu masa dahulu mengenai masa depan industri buku. Katanya, selagi benda pertama yang disentuh oleh seorang kanak-kanak itu adalah sehelai kertas, industri buku akan kekal. Seandainya saya bertanya lagi soalan itu kepada penerbit tersebut, saya percaya dia tidak akan menggunakan analogi yang serupa.

Pada hari ini, benda pertama yang dipegang oleh kanak-kanak adalah selfon. Dia mula kenal bunyi, imej dan video yang tertayang di skrin telefon. Justeru itu, meskipun apa yang dikatakan oleh generasi lama mengenai buku, generasi esok akan membaca, menonton dan mendengar melalui selfon dan komputernya. Memang ada dalam kalangan penerbit buku yang berkata, e-buku mahupun buku audio tidak diminati di Malaysia. Tetapi, bukankah buku cetak tidak lagi diminati? Tunggulah. Tunggulah saat bilamana ada sekumpulan manusia yang memperkenalkan e-buku dan buku audio secara agresif dan komprehensif, generasi esok akan terus merangkul teknologi itu.

Di waktu itu, maaf cakap...mereka yang masih berpaut di dahan rapuh buku cetak akan ternganga dengan kehairanan kerana baharu sedar, teknologi dunia sudah menjalar dan menular dalam kalangan kita. Makcik dan pakcik kita pun sudah mula membaca artikel di dalam aplikasi WhatsApp. Bayangkan, mereka juga tidak pentingkan buku cetak lagi.