‘Tetamu tidak diundang’ datang lagi

A
A

BEBERAPA hari lepas, ketika hendak menyertai satu program syarikat di sebuah pusat rekreasi di pinggir kota, saya melihat hari mendung seolah-olah hendak hujan.

Tetapi peliknya cuaca agak panas dengan matahari yang berwarna agak kemerahan dan bau asap kebakaran yang begitu ketara. Rupa-rupanya jerebu kembali melanda negara ini. Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Rasa kesal.

Isu jerebu tidak pernah selesai, bahkan ia ibarat rutin yang muncul setiap tahun tanpa dapat dikawal. Jerebu ibarat tetamu yang tidak diundang, malah memaksa kita menerimanya pada setiap tahun.

Jerebu adalah keadaan kualiti udara tidak baik. Ini kerana kehadiran partikel (opalescent) di atmosfera mengurangkan jarak penglihatan. Situasi ini disebabkan pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.

Setakat jam 11 pagi semalam, sebanyak 11 lokasi di beberapa negeri mencatatkan skala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Dua lokasi di Kuala Lumpur mencatatkan paras IPU tidak sihat dengan Batu Muda di paras 138, Cheras (130) manakala Putrajaya mencatat IPU di paras 126. Sementara itu di Selangor, Johan Setia mencatat paras IPU di tahap 158, Petaling Jaya (127), Shah Alam (121), Klang (117), dan IPU di Banting di paras 123.

Bacaan IPU juga semakin meningkat di dua lokasi di Negeri Sembilan iaitu Nilai dengan IPU di paras 130, manakala Seremban di paras 110.

Di Tangkak, Johor, IPU yang dicatatkan adalah di paras 109, dan IPU di Rompin, Pahang mencatat peningkatan mendadak pagi semalam kepada 197 daripada 98 pada jam 9 malam kelmarin.

Pusat Metereologi Khas Asean (ASMC) turut memberi amaran keadaan berjerebu di Malaysia dijangka bertambah buruk berikutan penambahan titik panas yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Meruncing

Sejak tahun 1991, jerebu telah menjadi masalah yang meruncing di Asia Tenggara, hutan di Indonesia yang dibakar bagi membersihkan tanah menjadi punca. Pada Ogos 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan keadaan jerebu yang agak teruk di pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Klang. Dua kawasan diisytiharkan darurat iaitu Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang setelah IPU di dua kawasan itu mencecah lebih 500.

Pada 2006, masalah jerebu berulang lagi. Pada Jun 2013 jerebu datang kembali ke seluruh Asia Tenggara terutamanya di Singapura dan Malaysia.

Di Malaysia, kawasan yang paling teruk terjejas ialah di Muar dan Ledang yang terletak di Johor dan juga di Bukit Rambai yang terletak di Melaka. IPU di kawasan tersebut mencecah sehingga 746.

Mengulas masalah ini, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah berkata, jerebu merentas sempadan adalah punca utama jerebu berlaku di seluruh Malaysia.

Katanya lagi, Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada pemerintah Indonesia supaya segera memadamkan kebakaran bagi memastikan kesan jerebu melanda negara ini tidak menjadi lebih teruk.

Malah, sejumlah 1,393 tompok panas dikesan di Indonesia dengan 1,087 daripadanya berada di Kalimantan. Bagaimanapun, seorang Menteri Indonesia menafikan perkara tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan (LHK), Siti Nurbaya itu dilihat meragukan apabila sebanyak 1,278 titik panas dikesan satelit Terra Aqua di Sumatera. Lebih teruk, beberapa sekolah di Wilayah Jambi, Pekanbaru dan Siak diarahkan ditutup selama beberapa hari.

Semalam, sebanyak 134 sekolah lagi di Sarawak ditutup susulan IPU mencapai tahap sangat tidak sihat. Jabatan Pendidikan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu menjadikan 409 sekolah rendah dan menengah ditutup setakat jam 10 pagi.

Apa yang penting, orang ramai perlu mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut, payung dan topi sekiranya berada di luar rumah ketika jerebu ini.

Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

Selain itu banyakkan minum air dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh itu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia