Projek #KUBE sasar 10 rak buku

Chean Chung (kiri) bersama Shee Lim (kanan) dan Hariz menunjukkan buku yang disediakan di Gunteng Barbershop Indera Mahkota.
Chean Chung (kiri) bersama Shee Lim (kanan) dan Hariz menunjukkan buku yang disediakan di Gunteng Barbershop Indera Mahkota.
A
A
A

KUANTAN - Sasaran 10 rak buku melalui projek pertukaran buku #KuantanBook Exchange atau #KUBE mampu dicapai pertengahan tahun depan.

Projek inisiatif Pusat Khidmat Adun Semambu yang dilaksanakan hampir dua tahun lalu kini mempunyai enam rak buku di lima premis dengan hampir 1,000 buku disediakan.

Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, konsep projek tersebut agak menarik kerana rak-rak buku disediakan di tempat-tempat ‘luar biasa’ seperti di kedai gunting rambut dan terbuka kepada semua untuk memilih buku yang mereka minat di rak disediakan untuk ditukarkan.

Menurutnya, ia bukan pinjam tetapi konsepnya ‘tukar terus’ selain boleh dibaca pelanggan yang berkunjung ke premis yang menyediakan kemudahan rak buku tersebut.

“Matlamat kita untuk menyemarakkan aktiviti membaca di mana-mana sebagai satu budaya masyarakat di sini.

“Setakat ini, sambutan amat baik tetapi boleh ditingkatkan lagi termasuk menambah lebih banyak rak buku di premis-premis menjadi tumpuan termasuk restoran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan dua rak buku melalui projek itu di Gunteng Barbershop Indera Mahkota di sini hari ini.

Chean Chung berkata, Gunteng Barbershop Indera Mahkota merupakan premis kelima yang berkerjasama dalam projek tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga pemilik restoran yang berminat untuk menempatkan rak buku di premis mereka, jadi kita rasa, projek itu mampu dikembangkan dengan lebih luas lagi,” katanya.

Buku-buku yang dibekalkan untuk projek tersebut hasil sumbangan orang ramai dan syarikat penerbitan.

‘Kita mengalu-alukan orang ramai untuk menyumbang buku kepada projek ini. Semua buku diterima kecuali buku teks, majalah, komik dan panduan pelancongan.

“Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang buku boleh berhubung Penyelaras Projek Pang Shee Lim di talian 0169154400,” katanya.

Sementara itu, pemilik Gunteng Barbershop Indera Mahkota, Hafiz Othman menyambut baik projek #KUBE yang memilih kedainya sebagai lokasi kelima.

Menurutnya, selain menyediakan bahan bacaan untuk ditukarkan orang ramai, pelanggannya juga boleh dimanfaatkan masa menunggu giliran dengan membaca.

“Pada masa sama, rak buku ini juga membantu memeriahkan kedai ini dengan tetamu sekaligus dapat mempromosikan perkhidmatan gunting rambut disediakan kepada mereka,” katanya.