AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang dikenakan penalti kewangan

AirAsia
AirAsia
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad (AirAsia) dan AirAsia X Berhad (AirAsia X) kerana tidak mematuhi Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Mavcom dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua syarikat penerbangan tersebut telah mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian yang berasingan daripada tambang asas.

“Mulai 1 Jun 2019, Suruhanjaya telah membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan kepada peruntukan baharu di dalam MACPC.

"Hasil daripada pemantauan yang dilakukan, suruhanjaya telah mendapati bahawa AirAsia dan AirAsia X telah tidak mematuhi sub perenggan 3(2) MACPC yang memperuntukkan syarikat penerbangan untuk menzahirkan sepenuhnya harga muktamad tambang penerbangan.

“Sebagai sebahagian daripada proses bagi menentukan ketidakpatuhan telah dilakukan, Mavcom telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua syarikat penerbangan tersebut dan memberikan beberapa peluang kepada AirAsia dan AirAsia X untuk mengemukakan sebab atau faktor untuk mengurangkan kuantum penalti kewangan tersebut,” katanya.

Seksyen 69(4) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] bersama perenggan 22 MACPC memberikan kuasa kepada Mavcom untuk mengenakan penalti kewangan kerana gagal mematuhi MACPC dengan jumlah tidak melebihi RM200,000, dan bagi pelanggan kedua dan seterusnya, jumlahnya adalah 10 kali ganda penalti kewangan yang dikenakan pada pelanggaran pertama.

Selepas menilai dan menimbang representasi bertulis oleh syarikat penerbangan itu, Mavcom mengenakan penalti ke atas pelanggan pertama subperanggan 3(2) Akta MACPC, bagi tempoh 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019.

Sementara itu, Mavcom turut mengenakan penalti kewangan terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan ditetapkan suruhanjaya itu pada suku pertama 2019.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut proses bagi penentuan ketidakpatuhan, Mavcom mendapati bahawa MA Sepang telah gagal untuk memenuhi beberapa keperluan di dalam Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

"Menurut seksyen 98A(3)(b) Akta 771, suruhanjaya diberi kuasa untuk mengenakan jumlah penalti yang tidak melebihi lima peratus daripada perolehan tahunan MA Sepang.

“Setelah mengambil kira representasi bertulis daripada MA Sepang serta faktor dan sebab yang dikemukakan oleh MA Sepang untuk mengurangkan kuantum penalti kewangan tersebut, suruhanjaya telah mengenakan penalti sebanyak RM 1,179,889 pada MA Sepang,” katanya.