UPB IPK Selangor menutup kawasan berkenaan kepada orang awam buat sementara waktu bagi kerja pemusnahan bom petang tadi.Gambar kecil: Bom yang ditemui di Tanah Perkuburan Ukay Perdana di sini petang tadi.
A
A

AMPANG - Seorang penggali kubur terkejut apabila menemui sebutir bom ketika hendak mengebumikan satu jenazah di Tanah Perkuburan Ukay Perdana di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan penemuan bom tersebut pada jam 2.25 petang.

Menurutnya, lelaki berkenaan menemui bom itu ketika sedang membetulkan lubang kubur untuk mengebumikan satu jenazah.

“Anggota polis yang ke lokasi mendapati objek tersebut adalah sejenis bom jenis mortar 81mm.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang dimaklumkan mengenai penemuan tersebut mengambil tindakan menutup kawasan berkenaan kepada orang awam buat sementara waktu atas sebab keselamatan.

“Bom itu dimusnahkan UPB pada jam 6.10 petang tadi dalam keadaan selamat dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia