Penjenamaan semula PPR kepada PPM belum muktamad: KPKT

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) belum memuktamadkan mengenai cadangan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Perumahan Malaysia (PPM).

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, pihaknya belum membentangkannya secara formal dan menyeluruh berhubung perancangan atau konsep PPR yang baharu itu.

"Jadi, saya rasa cara terbaik dengan menunggu sehingga kami telah melengkapkan kajian dan cadangan, sebelum ia diumumkan oleh Menteri (Zuraida Kamaruddin) apakah dasar yang sebenarnya dalam waktu terdekat.

"Ketika itu (selepas diumumkan) barulah ia boleh dibahaskan dengan memberi cadangan yang lebih membina," katanya selepas meraikan pemenang 'Housing 4.0 Design Competition' di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang meminta agar KPKT mengkaji semula cadangan penjenamaan semula PPR kepada PPM yang didakwa bakal menjejaskan peluang golongan B40 untuk mendapatkan kediaman.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata Housing Design 4.0 Competition merupakan satu cara terbaik dalam mengembangkan lagi industri pembangunan di negara ini.

"... ini dapat mempelawa dan memberi peluang kepada arkitek muda supaya mereka diberi satu pentas untuk menunjukkan kemahiran dan inovasi mereka," katanya.

Pertandingan anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd (Gamuda IBS) itu menerima 111 penyertaan sejak bermula pada April lalu.

Mohd Rashdan Daud daripada GDP Architects Sdn Bhd memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000.
Artikel Berkaitan:


Tempat kedua dimenangi Leong Yew Kon daripada GSD Architect, dan menerima hadiah wang tunai RM40,000 manakala Muhammad Qhawarizmi Norhisham daripada Qhawarizmi Architect dan Praktikal Architects Sdn Bhd di tempat ketiga dan membawa pulang RM30,000.- Bernama