Jerebu: Sekolah di Selangor ditutup jika IPU cecah 200

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memberi arahan agar sekolah di negeri ini ditutup sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah bacaan 200.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya masih memantau perkembangan jerebu di seluruh negeri dan setakat ini belum ada arahan cuti dikeluarkan.

Beliau berkata, urusan berkaitan jerebu di negeri ini berada di bawah kelolaan Unit Kawalan Bencana Negeri Selangor dan kerajaan negeri akan mengikut perkembangan selanjutnya.

“Cuti buat masa ini belum lagi cuma kita nasihatkan orang awam dan rakyat Selangor supaya dapat elakkan sebarang aktiviti di luar rumah,” katanya selepas Dialog Bajet 2020: Pemerdayaan Ekonomi Ke Arah Selangor Maju Bersama yang berlangsung di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya juga turut meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka berikutan ia melibatkan pihak luar yang melakukan kegiatan itu tanpa kawalan.

"Perkara ini adalah masalah yang berlarutan. Sebelum ini di Sepang kita dah kawal dan berjaya tangani.

"Kali ini kita kena tengok di Johan Setia berikutan ia melibatkan tanah gambut dan pembakaran berlaku dengan cepat sehingga sukar dikawal," katanya.

Sebelum ini Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan sebanyak 28 kes pembakaran terbuka di sekitar Johan Setia sedang disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bagi tindakan penguatkuasaan kepada pelaku bertanggungjawab.

Beliau berkata, sehingga 4 September, JAS Selangor telah menjalankan tindakan penguatkuasaan antaranya 30 amaran, lima tawaran kompaun dan dua kertas siasatan ke atas pengusaha dan pemilik tanah terlibat.
Artikel Berkaitan: