Jerebu: Hospital dijangka terima ramai pesakit

Kualiti udara di 18 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU tidak sihat - Foto Bernama
Kualiti udara di 18 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU tidak sihat - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menjangkakan hospital di seluruh negara akan menerima pertambahan pesakit ketara khususnya mereka yang menghidap masalah pernafasan seperti penyakit saluran pernafasan obstruktif kronik (COPD) atau bronkitis kronik susulan masalah jerebu yang semakin membimbangkan.

Memetik laporan FreeMalaysia Today, Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, orang ramai khususnya mereka yang mempunyai masalah membabitkan pernafasan diminta untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah.

“Masalah ini akan menjejaskan mereka menghidap penyakit COPD dan kami jangkakan lebih ramai pesakit sama ada yang mengalami masalah COPD atau asma akan dimasukkan ke hospital sekiranya keadaan jerebu masih tidak pulih.

“Bagaimanapun kami masih mengkaji perkara tersebut, tetapi itu yang kami jangkakan,” katanya.

Setakat jam 3 petang tadi, kualiti udara di 18 kawasan di seluruh negara mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 18 kawasan itu terdiri daripada tiga di Kuala Lumpur, lima di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, dua di Melaka, tiga di Sarawak dan masing-masing satu di Johor dan Pahang.

Rompin, Pahang merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 196 manakala Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan kedua tertinggi iaitu 182.

Sebanyak 48 stesen melibatkan Terengganu, Pahang, Perak, Selangor, Johor, Melaka, Johor Bahru dan Sarawak pula turut merekodkan bacaan IPU sederhana.

Artikel Berkaitan:

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk bacaan IPU semasa.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Isnin mengeluarkan kenyataan bahawa kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.