RM1.8 juta bantu bekas atlet

Noorul (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima sumbangan.
Noorul (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima sumbangan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk membantu ahli yang memerlukan bantuan pada setiap tahun.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, sehingga Ogos lalu, pihaknya membelanjakan sebanyak RM1.2 juta melibatkan bantuan perubatan, peralatan dan khairat kematian.

"Untuk kali ini di Kelantan kita berikan khairat kepada dua orang balu bekas atlet bola sepak iaitu Awang Essa dan Wan Hassan Wan Ibrahim dan kerusi roda kepada atlet paralimpik, Syarifah Raudzah Syed Akil melibatkan nilai RM10,000.

"Kelantan merupakan negeri kelapan selepas Perlis, Kedah, Selangor dan empat lagi negeri yang akan kita kunjungi selepas ini. Insya-ALLAH kita akan bantu sebaik mungkin mereka yang memerlukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau hadir menyampaikan sumbangan di Kompleks Kota Darulnaim yang turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Roslan Wan Hamat di pejabatnya di sini.

Menurutnya, YAKEB mempunyai seramai 2,745 ahli seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 1,745 telah menerima bantuan sejak ditubuhkan.

Beliau berkata, walaupun berdepan masalah kewangan, namun pihaknya sentiasa mengadakan kempen untuk menjana pendapatan bagi memastikan penyaluran bantuan kepada bekas atlet tidak terjejas.

"Kita akan laksanakan kempen, pertandingan golf dan beberapa program lain untuk membantu masyarakat dan individu yang mahu menderma kepada YAKEB.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini sangat penting kerana kita perlu membantu bekas-bekas atlet ini kerana mereka merupakan wira-wira negara yang banyak berjuang untuk sukan Malaysia sebelum ini. Setiap tahun, seramai 100 ahli baru akan mendaftar dalam YAKEB," katanya.