Lelaki cedera ditetak dengan parang

Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan
Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan
A
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki cedera ditetak dengan parang ketika cuba menghalang sepupunya daripada dipukul di sebuah rumah di Desa Impian Batu Empat Binjai Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa, 30-an cedera di tangan kanan selain lebam dan luka di beberapa bahagian lain.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa menemani sepupunya yang juga suri rumah berusia 36 tahun bersama ahli keluarganya ke rumah rakan yang dikenali sebagai Jackson.

"Ketika mereka bersantai sambil berbual, secara tiba-tiba Jackson marah dan mengamuk.

"Jackson menghampiri sepupu mangsa sebelum bertindak menampar dan menumbuk muka selain menendang perut wanita itu.

"Melihat perbuatan biadab tersebut, mangsa cuba menghalang menyebabkan suspek tidak berpuas hati lalu menuju ke dapur mengambil parang sebelum menetak tangan kiri mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata sumber, akibat kejadian itu, mangsa cedera di tangan kiri manakala sepupunya lebam di muka dan cedera di bahagian perut akibat ditendang.

"Susulan kejadian itu, mangsa dihantar sepupunya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman sebelum membuat laporan di Balai Polis Chukai untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, seorang lelaki sudah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.