Seludup emas: Wanita Malaysia ditahan di India

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI - Seorang penumpang wanita rakyat Malaysia telah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Chennai kerana disyaki cuba menyeludup emas bernilai RM133,000.

Wanita berusia 40 tahun itu tiba dari Malaysia pada Isnin dan didapati membawa emas tulen seberat 582 gram bernilai kira-kira 2.3 juta rupee India (RM133,700), menurut Unit Perisikan Udara India (AIU).

Penumpang itu telah ditahan secara rasmi pada Selasa pagi di bawah undang-undang kastam India.

Beliau telah dibebaskan dengan jaminan dan polis sedang menjalankan siasatan, kata K. Saravanan, konsul jeneral Malaysia di Chennai kepada Bernama.

Ini merupakan kes ketiga yang membabitkan rakyat Malaysia ditahan atas cubaan menyeludup di Chennai dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada Ogos, para pegawai kastam India telah menahan seorang wanita rakyat Malaysia selepas menjumpai 12 jongkong emas seberat 6.5 kilogram dalam bagasi miliknya, dan sebelum itu, seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyeludup berlian bernilai RM1.34 juta ke India. - Bernama

Artikel Berkaitan: