X

Kindly register in order to view this article
!

Padah tikam muka, lelaki dijel 10 tahun

Muhamad Murtazah dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menikam muka lelaki tidak dikenali dengan pisau Julai lalu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menikam muka seorang lelaki tidak dikenali menggunakan pisau sehingga cedera parah Julai lalu.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Muhamad Murtazah Md Kasim, 28, dari Pulau Pinang mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah di bahagian muka dengan cara menikam muka mangsa, Mohamad Padzli Ismail, 53, sehingga meninggalkan kecacatan kekal.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus kira-kira jam 11 malam pada 30 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, semasa berada di rumah bersama isteri dan anak-anak, mangsa dikejutkan dengan kedatangan tertuduh yang secara tiba-tiba masuk ke dalam rumah melalui pintu hadapan.

Tertuduh terus menikam muka mangsa menggunakan pisau dan turut bertindak menikam orang kampung, Mohd Hafizam Rashid, 25, di tangan kanan.

Bukan itu sahaja, tertuduh menyelongkar dan menggeledah rumah mangsa sebelum bertindak memecahkan siling dan bumbung bilik tidur untuk bersembunyi.

Pada 10 September lalu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap tertuduh kerana menyerang Mohd Hafizam Rashid.

Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman 12 bulan penjara masing-masing bagi kesalahan mencuri wang RM40 milik Kedai Runcit Merang serta menceroboh rumah mangsa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pencuri nekad memecah masuk rumah salah seorang penduduk untuk bersembunyi bagi mengelak ditangkap selepas tindakannya mencuri duit di sebuah kedai runcit disedari penduduk kampung.

Dalam kejadian itu, lelaki tempatan itu dikatakan bertindak agresif apabila menikam dua lelaki termasuk seorang pemilik rumah sejurus memasuki rumah berkenaan dengan sebilah pisau dibawanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencuri tikam penduduk elak dicekup

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dijel tiga tahun, cederakan orang lain


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus