Modenas lancar 3S pertama

Modenas Power Store bantu tambah baik proses pembelian motosikal, sediakan pengalaman pemilikan lebih holistik

Roslan (kiri) dan Sameer (tengah) ketika melancarkan Modenas Power Store di Sunsuria Avanue, Kota Damansara baru-baru ini.
Roslan (kiri) dan Sameer (tengah) ketika melancarkan Modenas Power Store di Sunsuria Avanue, Kota Damansara baru-baru ini.
A
A
A

SYARIKAT Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) baru-baru ini telah melancarkan Modenas Power Store atau pusat pameran bertaraf 3S iaitu menyediakan khidmat jualan, servis dan alat ganti pertamanya di Malaysia.

Dikenali sebagai Modenas Power Store, ia merupakan konsep pertama yang diperkenalkan jenama itu di rantau ASEAN.

Ketua Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, pengenalan konsep tersebut kepada pasaran Malaysia akan membolehkan syarikat itu meningkatkan penguasaan pasaran perniagaan syarikatnya.

"Modenas Power Store juga memberi peluang untuk mengembangkan jenama kami kerana ia menawarkan pelanggan pusat sehenti bagi jualan dan servis roda dua khusus untuk segmen motosikal jalanan iaitu jenama model Modenas Pulsar dan Dominar.

"Modenas Power Store juga menawarkan khidmat membaiki motosikal termasuklah kerja pembaikan utama dan servis motosikal dengan alat ganti tulen serta aksesori khas yang diperoleh dari seluruh rantau ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kedai berkenaan di Sunsuria Avanue, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Bajaj Auto Ltd, Sameer Deshpande.

Tambah Roslan, Modenas Power Store bukan hanya akan menambah baik proses pembelian motosikal, malah menyediakan pengalaman pemilikan motosikal yang lebih holistik.

Bantuan buat pelanggan merangkumi pengaturan pembiayaan, penambahbaikan motosikal, alat ganti tulen, pandu uji dan pembaikan serta servis oleh mekanik berkemahiran tinggi.

Artikel Berkaitan:

Power Store akan mempunyai lima hingga enam mekanik untuk memenuhi kehendak pelanggan sekurang-kurangnya 30 hingga 50 buah motosikal seminggu.