Jangan bandingkan Piagam UMNO-Pas dengan Pakatan Rakyat

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof cuba membandingkan Piagam UMNO-Pas dengan majlis pembentukan Pakatan Rakyat (PR) di sini pada 2009 disifatkan tersasar jauh dan seolah-olah cuba 'meraba dalam kegelapan'.

Sekretariat Ta'awun UMNO-Pas, Tan Sri Annuar Musa berkata, piagam bakal ditandatangani dua parti Melayu terbesar pada Himpunan Pas-UMNO (HPU914) pada 14 September ini bukan majlis pembentukan satu gabungan parti alternatif baharu.

Menurut, sebaliknya UMNO dan Pas ada perancangan sendiri yang akan diketahui apabila tiba masanya.

"UMNO dan Pas bukan parti berusia dua atau tiga tahun, serpihan kecil 'desperado' mencari gabungan untuk hidup menerusi formula rapuh yang menggadaikan prinsip, maruah dan harga diri sehingga sanggup bersekongkol menyanggah kepentingan agama, bangsa dan falsafah asas negara.

"UMNO dan Pas mengambil langkah yang asas tetapi penting dengan menyatukan ummah yang parah dan berpecah-belah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Islam dan pribumi adalah kelompok teras kepada kewujudan negara bangsa dan merupakan tiang seri politik negara.

"Sekiranya ia patah atau lemah, politik negara tidak mungkin berdiri tegak sebagaimana rapuhnya gagasan Pakatan Harapan (PH) dianggotai Mujahid sendiri," katanya.

Annuar berkata, lebih aneh Mujahid seperti tidak dapat menyembunyikan niat serongnya, apabila cuba membuat 'prejudgement' dengan nilaian negatif walaupun beliau sendiri ternyata tiada maklumat mengenai apa itu Piagam UMNO-Pas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bukan soal survival UMNO atau Pas yang menjadi perhitungan kerana tiada makna jika sekadar 'survive' seperti Amanah dan Bersatu dalam PH sekarang.

"Justeru, pada 14 September ini, kita bukan untuk mengumumkan pakatan baharu dengan 'Common Policy Framework' (CPF) yang baharu.

"Insya-ALLAH kita ada 'roadmap' bakal dikembangkan secara organik meskipun tidak membawa jalan penyelesaian sepenuhnya secara sekelip mata," katanya.

Annuar turut menegaskan penyatuan ummah bukan bersifat 'one off' atau 'one event program', namun bakal digerakkan sebagai satu gelombang rakyat terdiri pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

"Sebab itu UMNO dan Pas mahu membina sesuatu yang kental dan tulen untuk Malaysia dan bukan membina harapan palsu.

"Kerangka membina semula harus kukuh dan bukan penyelesaian mi segera dicari. Jika tidak, kita akan mengulangi kegagalan PH seperti sedang disaksikan sekarang," katanya.