Bilik gerakan dibuka jika bacaan IPU sangat tidak sihat: JKNS

Datuk Dr Khalid Ibrahim
Datuk Dr Khalid Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan membuka bilik gerakan negeri dan daerah jika keadaan jerebu bertambah buruk dan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 200.

Pengarahnya, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, ketika ini pihaknya memantau kejadian penyakit berkaitan jerebu termasuk infeksi saluran pernafasan bahagian atas (URTI), asma dan conjunctivitis di lima klinik sentinel Kementerian Kesihatan (KKM) secara bulanan.

Menurutnya, memandangkan keadaan jerebu dan IPU mencatat bacaan tidak sihat, JKNS akan memulakan pemantauan penyakit berkaitan jerebu secara harian.

“Hasil pemerhatian dalam tempoh seminggu lalu, kedatangan pesakit bagi penyakit berkaitan jerebu tidak menunjukkan peningkatan ketara.

“Orang ramai yang mengalami batuk, selesema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru kronik dinasihatkan ke klinik jika keadaan penyakit bertambah teruk,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau berkata, lima kawasan di Selangor menunjukkan IPU tidak sihat sejak semalam iaitu di Petaling Jaya (102-134); Shah Alam (102-130); Pelabuhan Klang (102-119); Banting (101-123) dan Johan Setia, Klang (143-160).

Menurutnya, pihaknya melakukan pemantauan di lima klinik sentinel termasuk Klinik Kesihatan Kota Damansara; Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam (Petaling); Klinik Kesihatan Pandamaran (Klang); Klinik Kesihatan Teluk Datok (Kuala Langat) dan Klinik Kesihatan Kuala Selangor (Kuala Selangor).

Katanya, orang awam boleh mendapatkan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dari laman sesawang KKM.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.