X

Kindly register in order to view this article
!

Dua remaja bakar kereta ditahan

Bomba berusaha memadamkan api yang marak membakar sebuah kereta di Kulai Ahad lalu.
A
A

KULAI - Dua remaja lelaki ditahan selepas mengaku bersalah membakar dua kereta di Taman Scientex dan Taman Wawasan dekat Kelapa Sawit di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mereka ditahan secara berasingan di Taman Scientex dan Kampung Sri Paya pada kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, semalam polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kereta jenis Perodua Myvi miliknya yang diletakkan Taman Scientex Kelapa Sawit terbakar.

"Kejadian itu disedari kira-kira jam 10.30 malam, Ahad lepas dan kebakaran berjaya dipadamkan oleh bomba. Satu botol air mineral yang dipercayai mengandungi bahan bakar ditemui di lokasi kejadian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki turut membuat laporan polis memaklumkan kereta Proton Iswara yang diletakkan di lorong belakang rumahnya di Taman Wawasan, Kelapa Sawit terbakar.

"Perkara itu dimaklumkan jirannya yang menyedari kejadian itu pada kira-kira jam 10 malam, Ahad lepas. Setelah bomba berjaya memadamkan kebakaran itu, didapati terdapat unsur khianat," katanya.

Beng Yeow berkata, hasil soal siasat, kedua-dua remaja berusia 15 tahun terbabit mengaku membakar kereta terbabit menggunakan petrol dan polis merampas beberapa barangan daripada mereka termasuk dua helai baju dan seluar pendek serta sebuah motosikal.

"Kedua-dua remaja itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk siasatan lanjut dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai untuk dipohon reman hari ini.

"Siasatan masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!