Jerebu: Tangkak dikategorikan kawasan tidak sihat

Chen Choon
A
A

JOHOR BAHRU - Daerah Tangkak dikategorikan kawasan tidak sihat berikutan jerebu yang semakin meruncing sejak beberapa hari lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap 111 dan PM2.5 setakat jam 11.15 pagi tadi.

Menurutnya, orang ramai disarankan mengambil langkah pencegahan seperti memakai penutup hidung sekiranya berada di luar rumah atau kawasan terbuka.

“Penduduk di kawasan sekitar digalakkan memakai topeng muka untuk mengelak daripada terdedah dengan masalah pernafasan dan penyakit konjunktivitis. Orang ramai juga disarankan minum air secukupnya untuk memastikan badan kekal hidrasi.

“Semua sekolah dan ibu bapa dinasihatkan mengambil berat keadaan murid terutama bagi calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Chen Choon berkata, kerjasama orang ramai di kawasan itu juga diperlukan untuk bersama-sama membendung sebarang kegiatan atau aktiviti pembakaran terbuka.

“Semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka dan tindakan tegas akan diambil oleh agensi-agensi berkaitan terhadap mereka yang terlibat.

“Saya juga meminta kerjasama semua pihak untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada Majlis Daerah Tangkak (MDT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia